How to Login   |   Forgot Password?   |   Register as Member
 
Malaysia

‘Saya serah kepada delegasi’

KUALA LUMPUR – ‘‘Sehingga kini saya masih tertanya-tanya, benarkah saya masih diperlukan dan kalau ia benar saya berterima kasih dan kalau tidak pun saya ingin berterima kasih juga,’’ kata Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dalam reaksinya berhubung pencalonan beliau untuk jawatan Timbalan Presiden, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Tengku Abdullah berharap saranan segelintir pihak yang mahukannya kembali ke pangkuan FAM adalah disebabkan demi kemajuan bola sepak negara.

Malah, keputusan untuk menerima pelawaan tersebut juga bukan dilakukan atas niat untuk menonjol diri.

‘‘Apa yang saya buat sekarang kerana saya menerima panggilan itu (untuk kembali menyertai FAM). Tetapi kalau saya hendak menonjolkan diri saya, itu sesuatu yang tidak akan saya lakukan.

‘‘Saya juga berserah kepada budi bicara Tuanku Sultan dan ahli delegasi, jika mereka rasa saya boleh memberi sumbangan kepada FAM untuk membangunkan bola sepak negara, maka, saya akan bagi yang terbaik,’’ tegasnya.

Tengku Abdullah berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis menandatangani perjanjian antara Persekutuan Hoki Malaysia dan 100 Plus yang akan bertindak sebagai penaja utama Piala Razak selama tiga tahun di sini, semalam.

Menurut Tengku Abdullah, keputusannya untuk mengundur diri daripada FAM pada 2007 selepas berasakan telah terlalu lama berada dalam badan induk bola sepak itu, selain, kekecewaan ekoran kekalahan skuad kebangsaan pada Piala Asia.

‘‘Kekalahan pada Piala Asia itu cukup pahit untuk saya telan, jadi, pada masa itu perkara terbaik yang perlu saya lakukan adalah dengan meletakkan jawatan,’’ ujar Tengku Abdullah.

Namun, jelas Tengku Abdullah, rasa sayang dan minat mendalam terhadap bola sepak telah membuatnya tidak dapat lari daripada untuk mengambil tahu mengenai sukan tersebut.

‘‘Sehingga hari ini, saya masih bermain bola sepak dan tengok Piala Dunia. Malah, saya juga masih baca (berita) pasal bola,’’ tambahnya.

Ketika ditanya mengenai perubahan yang berlaku sepanjang ketiadaannya dalam FAM, Tengku Abdullah enggan mengulas mengenai perkara tersebut.

Malah, kata Tengku Abdullah, sekali pun terpilih untuk menyandang jawatan itu adalah menjadi tanggungjawabnya untuk mematuhi apa yang dikehendaki oleh Presiden mahu pun ahli majlis.

‘‘Kita buat satu persatu dulu, saya tak nak bercakap mengenainya buat ketika ini kerana saya percaya semua orang dalam FAM telah buat yang terbaik dan mungkin ada kekurangan yang berlaku. Saya pernah berada di situ lama dan saya tahu asam garam dalam FAM, apa kekurangan dan apa kelebihannya,’’ jelasnya.

Bercakap mengenai prestasi terkini bola sepak negara, menurutnya, setakat ini, persembahan yang dipamerkan terutamanya ketika skuad negara menentang Korea Selatan, baru-baru ini, adalah sesuatu yang membanggakan.

Namun, menurut Tengku Abdullah, untuk mengekalkan prestasi apa yang ada sekarang bukan satu perkara mudah kerana pasukan-pasukan ternama dunia seperti Itali, Perancis dan Brazil juga kadang-kala gagal untuk sentiasa berada di tahap terbaik.