AIZAT menafikan hubungannya dengan Liyana Jasmay semakin renggang gara-gara gosip putus cinta mereka.
SEBAIK sahaja duduk dan menemuramah penyanyi dan komposer muda yang semakin meningkat naik ini, penulis perasan mata kanannya kelihatan bengkak lalu bertanya kepadanya.
"Kenapa mata bengkak? Banyak menangis ya?" soal penulis kepada Aizat.
Sambil ketawa, Aizat menjawab: "Mana ada menangis. Mata saya bengkak sebab sakit mata. Dah lama juga mata saya sakit. Berjangkit dari bapa saya."
"Oh, ingatkan bengkak sebab menangis. Maklumlah, orang baru putus cinta. Takkan tak habis bersedih lagi kot?" usik saya lagi.
Mendengar soalan penulis, dengan pantas Aizat memberikan justifikasinya: "Siapa kata saya putus cinta? Mana ada. Semua itu tidak benar."
Memang tujuan utama penulis bertemu dengan Aizat adalah untuk mendapatkan pengesahan daripada mulutnya sendiri tentang cerita putus cinta antara dirinya dengan Liyana Jasmay.
Sejauh manakah kebenaran cerita itu sedangkan sebelum ini baik Aizat mahupun Liyana, kedua-duanya tidak pernah membuat pengakuan di media bahawa mereka adalah pasangan kekasih.
Memang Aizat dan Liyana tidak pernah mengisytiharkan perhubungan mereka, tetapi daripada sumber dan mata yang memerhati, bahasa tubuh mereka sudah cukup memberi gambaran mereka memang bercinta.
Apatah lagi, ada yang pernah ternampak masing-masing tidak pernah melepaskan peluang untuk melepaskan rindu menerusi telefon, SMS mahupun panggilan video 3G.
Tiba-tiba sahaja, kedua-dua anak muda dikatakan sudah menoktahkan cinta mereka dan kini membawa haluan masing-masing.
Sememangnya berita itu sedikit mengejutkan dan sudah menjadi bahan bualan ramai pihak yang mula memperkatakan tentang isu tersebut.
Lebih hangat lagi apabila hubungan mereka dikatakan kerana kehadiran orang ketiga iaitu vokalis kumpulan Ungu, Pasha yang pernah digandingkan bersama Liyana dalam satu sesi fotografi.
Berpeluang menemui Aizat pada rakaman muzik video lagu Erti Hari Ini untuk kempen Bebaskan Bumi Palestin anjuran TV3 baru-baru ini, kesempatan itu diambil untuk mendapatkan kesahihan daripada mulut Aizat sendiri.
Tidak melenting mahupun menunjukkan riak yang tidak selesa dengan persoalan yang diajukan, Aizat begitu tenang menjawab segala pertanyaan.
Jelas anak muda berusia 21 tahun ini, dia memang sedar dan tahu akan cerita yang tersebar itu tetapi baginya itu adalah asam garam yang perlu dihadapinya sebagai seorang artis.
"Apa yang diperkatakan tentang hubungan saya dengan Liyana, semua itu adalah salah anggap sahaja.
"Mengapa? Kerana saya dan Liyana tidak pernah membuat pengakuan bahawa kami bercinta tetapi saya tidak menafikan, kami berdua memang teman rapat.
"Saya harus akui memang kami seringkali menghabiskan masa bersama tetapi bukan selalunya berdua. Sebaliknya, bersama teman-teman rapat sebaya kami yang lain.
"Barangkali kemesraan itu sudah disalah anggap oleh sesetengah pihak yang menganggap kami bercinta," jelas Aizat sambil ditemani abangnya, Anas di sebelahnya.
Aizat atau nama sebenarnya, Muhammad Aizat Amdan turut menafikan hubungannya dengan Liyana juga sudah semakin renggang gara-gara kisah putus cinta mereka yang tersebar luas itu.
Bukan itu sahaja, kata Aizat lagi, dia juga ada terdengar kisah kononnya mereka sudah putus cinta, mereka tidak mahu lagi disatukan dalam mana-mana sesi fotografi.
Sambil ketawa, bekas peserta Akademi Fantasia musim kelima ini memberitahu, hubungannya dengan Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia Ke-22 itu masih lagi berjalan lancar seperti sedia kala.
"Kadang-kala masa yang tidak mengizinkan untuk kami bersama dalam satu sesi fotografi dan saya sendiri tiada masalah untuk itu.
"Tentang kisah kononnya Pasha menjadi punca keretakan hubungan kami juga adalah tidak benar sama sekali. Saya tahu Liyana pernah digandingkan dengan Pasha dalam satu sesi fotografi.
"Sebagai artis, gosip begini saya anggap sebagai makanan ruji yang perlu saya hadapi dan semua itu juga mematangkan saya sebagai seorang individu," kata Aizat penuh optimis.
Dalam satu cerita lain pula, ada yang membisik dan memberitahu hubungan Aizat dan Liyana turut mendapat tentangan keluarga.
Kononnya, ia melibatkan perbezaaan darjat dan Aizat dikatakan tidak layak untuk mendampingi Liyana sebagai seorang teman mahupun kekasih.
Mendengar persoalan itu, dengan tenang Aizat menjawab dan menafikan sekeras-kerasnya dakwaan yang dianggapnya tidak berasas itu.
"Saya sendiri tidak tahu bagaimana kisah ini boleh timbul sedangkan hubungan antara kedua-dua keluarga langsung tiada masalah," jawabnya ringkas.
Sumber : utusan malaysia

Recent blog comments
1 year 13 weeks ago
1 year 15 weeks ago
1 year 15 weeks ago
1 year 15 weeks ago
1 year 15 weeks ago
1 year 16 weeks ago
1 year 15 weeks ago
1 year 16 weeks ago
1 year 16 weeks ago
1 year 16 weeks ago