How to Login   |   Forgot Password?   |   Register as Member
 
Malaysia

Arsenal makin garang buru gelaran

HULL, England – Arsene Wenger melihat Arsenal mengukuhkan buruan gelaran bola sepak Liga Perdana England dengan kemenangan 2-1 di Hull, malah semakin bersemangat dengan ke kepulangan bintang tengah, Cesc Fabregas.

Gol pada masa tambahan Nicklas Bendtner mengesahkan kemenangan kelima berturut-turut dan meneruskan tekanan terhadap pencabar gelaran, Chelsea dan Manchester United.

Penyudahan dramatik itu mencerminkan kejayaan Arsenal di Stoke City, sebelum ini dan menyaksikan mereka kembali menyusun reputasi baru dan tidak lagi seperti dahulu.

“Kami meninggalkannya lewat ketika itu, seperti mana yang kami lakukan di Stoke. Mungkin ia tidak bagus tetapi selagi ia berkaitan gelaran, ia boleh tahan,’’ kata Wenger.

Harapan kelab London itu mengakhiri penguasaan United dan Chelsea lenyap beberapa kali musim ini, tetapi selepas kemenangan terbaru menyaksikan mereka setara di tangga teratas dengan jiran mereka dari seberang ibu kota.

Wenger menegaskan, ia mungkin tidak bijak mengetepikan mereka (Arsenal) ketika kempen masih berbaki kurang dua minggu.

Keyakinan Arsenal bertambah kuat dengan berita bahawa Fabregas yang terlepas dua perlawanan terakhir dengan kecederaan urat pelipat lutut yang sepatutnya cergas untuk menghadapi West Ham, Sabtu ini.

“Fabregas berpeluang untuk bersedia bagi minggu depan tetapi William Gallas tidak.”

“Kami masih berjuang dan kami ada lapan lagi perlawanan. Kami ada di sana, jadi mengapa kami tidak percaya? Apa yang kami percaya ialah kami memang akan memberikan segalanya untuk terus bersaing.

“Semangat pasukan ada, ia istimewa dan anda boleh melihatnya,’’ ujar Wenger.

Pada perlawanan, semalam Andrey Arshavin membawa Arsenal mendahului tetapi disamakan dengan penalti Jimmy Bullard selepas Sol Campbell mengasari Jan Vennegoor - satu kesalahan yang pengurus Hull, Phil Brown mendakwa bahawa benteng veteran Arsenal itu wajar dibuang padang.

Pelawat gagal memanfaatkan kelebihan pemain mereka apabila ketua pasukan Hull, George Boateng beroleh kad kuning kedua kerana satu kesalahan ke atas Bacary Sagna pada masa kecederaan babak pertama.

Penyerang Denmark, Bendtner menyusuli untuk menjaringkan gol selepas penjaga gol Boaz Myhill gagal mengekang satu rembatan daripada Denilson.

Brown yang pasukannya dalam bahaya diturunkan ke bahagian kedua selepas hanya menang sekali dalam 15 perlawanan, menegaskan: “Detik penting pastinya menyebelahi Arsenal. Saya akui, Sol Campbell seorang yang besar tetapi dia wajar dikenakan kad merah, ia semudah itu sahaja.’’

Wenger tidak bersetuju dan menambah: “Sol tidak bernasib baik untuk terus bermain. Saya rasa kekasaran dilakukan padanya. Hesselink masuk ke laluan Sol dan dia tiada pilihan kecuali menyentuhnya.

“Tiada niat di situ dan dia bukan dalam satu kedudukan untuk menjaringkan gol,” katanya. – AFP