How to Login   |   Forgot Password?   |   Register as Member
 
Malaysia

Aziz, Puteri Lily selamat diijab kabul di Masjid Negara

AZIZ mendakap erat Puteri Lily selepas mereka selamat diijabkabulkan di Masjid Negara, semalam.

KUALA LUMPUR: Selepas berkenalan sejak tahun lalu, hasrat dan impian, pengarah terkenal, Aziz M Osman, 48, berkahwin lagi dengan pilihan hatinya, Puteri Sarbainun Lokman (Puteri Lily), 21, menjadi kenyataan selepas mereka dinikahkan di Masjid Negara, di sini, semalam.

Hanya sekali lafaz, pasangan ini sah menjadi isteri tepat jam 10.10 pagi. Mereka diijabkabulkan bapa pengantin perempuan, Lokman Ghani dengan disaksikan keluarga terdekat kedua-dua belah pihak. Hadir sama, Pendaftar Nikah Cerai & Rujuk, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Abdullah Hashim.
Puteri Lily yang juga pelakon dan model sambilan anggun mengenakan persalinan tajaan De Casa Impiana, Johor Bahru, menerima wang hantaran sebanyak RM15,000, mas kahwin RM1,000 dan tujuh dulang hantaran berbalas sembilan.

“Secara teknikalnya ini perkahwinan saya yang ketiga. Ini kerana perkahwinan saya sebelum ini (dengan Nor Radhiah Ramli) tidak sah dan satu kesilapan. Alhamdulillah takdir sekali lagi menemukan saya dengan Lily dan apa yang dilakukan ini semua atas paksi mencari keberkatan dalam hidup.

“Sesiapapun yang berkahwin semestinya mengharapkan ia akan menjadi yang pertama dan terakhir. Cuma sebagai manusia biasa, kita hanya merancang, Tuhan menentukan. Saya tak nak kenang lagi apa yang berlaku dulu dan sebolehnya saya mahu mencari kebahagiaan abadi untuk perkahwinan ini,” kata bapa kepada enam orang itu.

Sementara itu, Puteri Lily yang juga anak kepada pengarah drama dan teater, Lokman Ghani menyifatkan jarak usia antaranya dengan Aziz bukan sesuatu isu yang perlu diperbesarkan. Puteri Lily juga bersedia untuk memikul tugas sebagai ibu ‘segera’ kepada anak-anak suaminya itu.

Majlis pernikahan itu turut dihadiri ibu kesayangan Aziz, Afida Es dan Den Wahab. Pasangan mempelai ini bersanding pada sebelah malam hari yang sama di Restoran Seri Melayu, di sini.

Sumber : Berita Harian