How to Login   |   Forgot Password?   |   Register as Member
 
Malaysia

Bukan mudah cari pelawak

TENAGA kerja Raja Lawak musim keempat yang berada di Sabah bertungkus lumus memastikan perjalanan kerja sentiasa lancar.

Sambutan di Sabah tak memberangsangkan, tapi kualiti peserta lebih baik berbanding tempat lain.

SELEPAS tiga musim program pencarian pelawak, Raja Lawak dianjurkan Astro Prima sejak 2007, mereka sudah melahirkan tiga pelawak yang berbeza serta berkemampuan melakukan apa saja di dalam bidang seni ini.

Sejak 17 Oktober lalu lagi, produksi Raja Lawak sudah merentas setiap zon negeri untuk mencari pelapis pelawak yang mampu mewarnai industri seni tanah air.

Bagi program Raja Lawak musim keempat yang bakal bersiaran mulai 26 November ini, buat pertama kali produksi Raja Lawak dijemput untuk mengadakan sesi uji bakat di negeri di bawah bayu, Sabah yang diadakan pada 14 dan 15 November lalu.

Biarpun sambutan di Sabah agak mengecewakan dengan kehadiran peserta yang hadir untuk uji bakat, namun kualiti serta persediaan yang dilakukan peserta dari Sabah cukup memberangsangkan berbanding empat lokasi sebelum ini iaitu di Johor Bahru, Pulau Pinang, Pahang dan Shah Alam.

Pengurus Saluran Astro Prima, Nizam Sani berkata, kehadiran produksi Raja Lawak musim keempat ke negeri Sabah disebabkan permintaan yang sangat tinggi daripada peminat di sana.


ACHONG peserta yang layak ke Kuala Lumpur sempat beraksi dengan Zizan selepas diumumkan Bob.

“Sejak musim lalu lagi saya menerima banyak e-mel daripada penduduk Sabah meminta produksi Raja Lawak mengadakan sesi uji bakat di sana. Pada mulanya saya agak bimbang sekiranya tidak mendapat sambutan dan peserta yang hadir tidak seperti yang kita impikan.

“Namun selepas mendapat banyak kerjasama dengan pihak di sana seperti One Borneo dan beberapa pihak lain kita pergi kerana menghargai mereka yang selama ini menyokong usaha kita itu.

“Seperti yang dijangkakan, uji bakat yang sepatutnya diadakan bermula jam 10 pagi terpaksa dimulakan tengah hari kerana tidak ramai peserta yang mendaftar. Namun selepas memulakan sesi uji bakat peserta pertama dan sehingga selesai hari itu, kita mendapat lebih banyak yang berkualiti daripada yang tidak berkualiti.

“Perkembangan baik seperti inilah yang kita mahukan, biarpun tidak ramai tetapi yang hadir untuk diuji bakat lebih bersedia. Ia tidak membuang masa kami, namun menjadi sukar untuk kami memilih untuk di bawa ke Kuala Lumpur,” katanya.

Selama dua hari uji bakat itu berlangsung, hampir 100 orang hadir untuk mencuba nasib.

Menurutnya lagi, daripada empat lokasi sebelum ini hampir 1,000 peserta berusia 18 hingga 72 tahun menghadiri uji bakat, namun daripada jumlah itu hanya 25 hingga 30 peserta saja yang berbakat.

“Mereka yang disenarai pendek ini akan dicampur dengan peserta dari Sabah dan akan dibawa ke Kuala Lumpur untuk menyaring sekali lagi dengan meminta mereka melakukan satu lagi persembahan.

“Kita mencari peserta yang mempunyai kriteria selain berbakat, kreatif, mengacara, berlakon, menyanyi atau menari. Paras rupa bukan keutamaan. Bagaimanapun, berapa jumlah peserta yang akan ke final RL4 belum ditentukan lagi, mungkin 12 peserta atau lebih.

“Tahun ini persediaan peserta untuk menyertai uji bakat ini jauh lebih baik daripada tahun sebelumnya. Menonton tiga musim Raja Lawak lalu, mereka sudah tahu apa yang kami mahukan. Lawak mereka juga lebih terkini dan menarik. Kami hendak lari daripada lawak bodoh. Mereka hendaklah persembahkan lawak yang ada mesej tetapi disampaikan dalam bentuk kreatif,” katanya yang pernah mencatat 1.28 juta penonton pada final Raja Lawak musim ketiga lalu.

Sementara itu, Eksekutif Produser (Produksi Melayu), Pengisian Astro Productions Sdn Bhd, Nizam Hamid, berkata sebaik musim ketiga menutup tirainya Mac lalu, segala perancangan untuk Raja Lawak 4 terus dimulakan sejak April lalu.

“Selepas berbincang dengan Nizam Sani, kami terus mulakan kerja dari segi perancangan dan memilih juri. Kali ini, kami ketengahkan tiga juri hebat yang pakar dalam bidang masing-masing, Bob Lokman, Afdlin Shauki dan Din Beramboi. Inilah barisan juri yang bakal memeriahkan lagi musim ini

“Kita juga masih mengekalkan dua pengacara serba boleh iaitu Zizan dan Johan kerana kombinasi mereka cukup kuat memeriahkan program ini.

“Selain itu, kami juga sudah merancang pelbagai program untuk peserta dan juara program ini sebaik ia tamat nanti. Apa yang dijanjikan Astro Prima adalah selepas Raja Lawak musim keempat ini menutup tirainya, dalam masa tiga bulan juaranya akan muncul di dalam telefilem yang sudah siap sedia termasuk beberapa program lain.

“Kami juga tidak menghalang pelawak yang kami lahirkan ini untuk bekerja dengan mana-mana stesen televisyen lain, malah kami bangga kerana bakat yang dilahirkan Astro boleh di lihat di mana-mana,” katanya.

Mengenai prestasi peserta di Sabah, Bob Lokman mempunyai pendapat yang tersendiri. Baginya pengetahuan peserta mengenai lawak sangat cetek dan disebabkan itu juga dirinya menyedari kenapa orang sering mengatakan lawak bodoh.

“Kebanyakan peserta uji bakat apabila hendak membuat persembahan di pentas, mereka membawa pengaruh lawak sedia ada yang sudah biasa dilihat atau didengar.

“Apabila Sepah menjadi juara tahun lalu, semua peserta mahu mengikut seperti Sepah ada tiga hingga empat peserta yang bagus dan saya berharap apabila kita 'sekolahkan' mereka nanti dan memperoleh ‘Doktor Lawak’, mereka akan menjadi bertambah baik. Pun begitu susah hendak cari yang macam Afdlin dan mustahil dapat bakat yang luar biasa macam Din Beramboi.

“Masalah lain yang saya nampak ialah apabila mereka hendak naik ke pentas. Perasaan takut berdepan penonton dengan kamera berbeza kerana takutkan kamera lagi bahaya. Dalam borang penyertaan ramai yang tulis `kawan dan keluarga ketawa dengar lawak saya'. Apabila mereka membuat persembahan depan orang ramai dan tak ada yang ketawa, mereka terus hilang punca,” katanya yang sedih kerana masyarakat sering meletakkan artis komedi ini sebagai kelas kedua dalam industri ini.

Empat Nizam bergabung tenaga jayakan Raja Lawak


KOMBINASI empat Nizam dalam Raja Lawak musim keempat. Dari kiri Nizam Jamaluddin, Nizam Sani, Nizam Hamid dan Nizam Harun.

DALAM memastikan kelancaran keseluruhan perancangan yang sudah diatur untuk merealisasikan program ini, sudah menjadi tanggungjawab tenaga kerja di belakangnya memerah otak merancang, mengatur, mengkaji dan melaksanakan program.

Uniknya di dalam merealisasikan program Raja Lawak musim keempat ini, empat orang kuat Astro bergabung dengan empat idea yang berbeza dan disimpulkan menjadi satu idea termasuk empat individu yang berlainan tetapi berkongsi satu nama.

Mereka ialah Pengurus Saluran Astro Prima, Nizam Sani, Penerbit Eksekutif, Nizam Hamid, Penerbit, Nizam Jamaluddin dan Penjadualan Program, Nizam Harun.

Kehadiran empat Nizam dalam melaksanakan program ini bukanlah satu perancangan atau gimik untuk meraih publisiti sambilan tetapi secara kebetulan.

Menurut Nizam Hamid, gabungan empat Nizam dalam merealisasikan program ini adalah secara kebetulan mengikut kemahiran masing-masing.

“Sebenarnya gabungan kami berempat ini sudah berlaku sejak musim ketiga lalu dan melalui kemahiran masing-masing kami sangat serasi bekerjasama tanpa ada masalah.

“Kebetulan di antara kami berempat ini memang sangat rapat seperti saudara sendiri dan di mana saja kami bersama kami akan berbincang terutama mengenai kehendak terkini penonton program Raja Lawak.

“Saya adalah antara tenaga belakang tabir yang terawal sebagai Penerbit Eksekutif program Raja Lawak bermula musim kedua hingga kini. Ketika mula mengambil alih program ini, saya sudah mendapat rasa bahawa program ini pasti akan meletup dan mendapat sambutan tinggi.

“Memang benar tekaan itu apabila setiap musim ratingnya sentiasa meningkat bukan sedikit tetapi terlalu mendadak sehingga mengejutkan pihak pengurusan di Astro,” katanya.

Apa Kata Peserta

# Mohd Ilham Rosdi, 19 (Achong)

"Saya menyertai program ini kerana minat berlawak dan berniat untuk mengubah hidup saya. Saya ingin keluarga saya hidup senang sekiranya saya bergelar artis suatu hari nanti. Saya juga tahu bidang ini bukanlah bidang yang boleh dianggap sebagai hobi tetapi suatu karier profesional yang kini masyarakat sekeliling mula menghargainya.

“Namun saya sangat sedih apabila sahabat saya tidak terpilih. Saya berkawan dengannya sudah lama dan apabila mengetahui yang Raja Lawak akan datang ke Sabah, kami bersiap sedia berlatih bersungguh untuk memastikan kami berjaya. Walaupun saya terpilih ke Kuala Lumpur tetapi buat masa ini saya akan merasa janggal sikit untuk berlawak tanpanya. Saya berharap pihak Astro menerimanya kerana ia adalah saya serasi dengannya,” katanya.

# Safuan Madeaming, 20

"Saya menyertai untuk mencuba nasib saja, manalah tahu kalau ada rezeki secara tidak langsung ia akan mengubah nasib saya. Saya dan Achong berlatih selama tiga hari sebelum ini untuk persiapan menghadiri uji bakat. Memanglah saya sedih kerana tidak terpilih tetapi saya tetap mendoakan Achong berjaya di Kuala Lumpur. Saya akan tetap mencuba lagi untuk tahun depan sehingga saya layak menyertai program ini suatu hari nanti,” katanya.

# Parman Tamyom, 59

"Pada mulanya memang saya tahu yang Raja Lawak akan ke Sabah dan saya menyertai uji bakat ini pun sekadar suka-suka kerana belum pernah menyertai mana-mana uji bakat. Kebanyakan program realiti lain memerlukan umur yang muda lagilah saya tidak berpeluang, namun Raja Lawak tidak mengehadkan umur sebab itu saya ikut.

“Saya menjadi pelawak di Sabah ini sudah lama sejak 1981 bersama Abu Bakar Elah dan sering mendapat undangan berlawak di majlis makan malam. Walaupun saya tidak berjaya namun saya tetap dengan kerja saya sampai bila-bila,” katanya.