How to Login   |   Forgot Password?   |   Register as Member
 
Malaysia

Bukan saya tentukan kedudukan

KUALA LUMPUR - Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah menyerahkan kepada anggota delegasi untuk mencalonkannya atau sebaliknya sebagai Presiden Persekutuan Hoki Malaysia (PHM) bagi sesi pemilihan penggal baru pada 30 Oktober ini.

Tengku Abdullah berkata, pembabitannya dalam PHM sebelum ini, adalah disebabkan permintaan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah yang mahukannya mengambil alih tanggungjawab sebagai presiden dan tidak pula merancang untuk berada lama dalam pertubuhan tersebut.

''Terpulang kepada delegasi untuk mencalonkan, kalau ada orang hendak bertanding, saya alu-alukan, kalau tidak ada yang mahu bertanding apa boleh buat, terpulang kepada negeri-negeri.

''Bukan saya yang menentukan kedudukan saya dan saya memang tak sangka kalau dilantik untuk penggal kedua kerana sejak awal lagi saya ada mencadangkan ia hanya untuk satu penggal dan terpulang kepada delegasi,'' katanya.

Tengku Abdullah berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis menandatangani perjanjian antara PHM dan 100 Plus yang akan bertindak sebagai penaja utama Piala Razak di sini, semalam.

Majlis menandatangani perjanjian itu yang melibatkan penajaan bernilai RM1.5 juta untuk tempoh tiga tahun turut dihadiri Pengarah Urusan F&N Beverages Marketing Sdn. Bhd. James Teo.

Mengulas mengenai Piala Razak, Tengku Abdullah memberitahu, sebelum ini, pertandingan itu hanya dianjurkan dalam tempoh yang singkat dan tidak dilaksanakan secara liga bagi jangka waktu yang lebih lama.

Menurut Tengku Abdullah, perubahan format pertandingan tersebut yang akan bermula pada April tahun depan bertujuan untuk memastikan pemain-pemain hoki sentiasa berada dalam keadaan cergas kerana mereka perlu mengharungi perlawanan untuk tempoh yang panjang.

''Kecergasan paling penting kepada pemain-pemain dan apabila pemilihan untuk skuad kebangsaan tiba mereka perlu berada pada prestasi terbaik,'' ujarnya.

Jelas Tengku Abdullah lagi, format baru itu juga dipanjangkan ke peringkat negeri dalam usaha PHM untuk mencungkil lebih ramai pemain berbakat untuk diserapkan dalam pasukan kebangsaan.

''Menerusi format baru ini, setiap pasukan yang bertanding akan bersaing mengikut zon masing-masing yang mana ia dilaksanakan bagi membantu meringankan penjimatan kos persatuan negeri tanpa perlu berbelanja untuk pengangkutan dan penginapan,'' tambahnya.