How to Login   |   Forgot Password?   |   Register as Member
 
Malaysia

Cuti sekolah bersama TV3

MUSIM cuti sekolah telah tiba dan pastinya kanak-kanak paling teruja memenuhi cuti mereka dengan aktiviti yang mereka sukai. Bersempena cuti pertengahan tahun yang baru sahaja bermula ini, TV3 tidak melepaskan peluang meraikannya dengan menghidangkan pelbagai rancangan menarik bagi mengisi masa lapang mereka.

TV3 menyediakan dua filem hebat dari Disney di slot Wonderful World of Disney pada hari Jumaat jam 10.02 pagi dan lapan buah kisah dongeng yang menarik di slot Jom Relaks pada setiap hari Isnin hingga Khamis pada pukul 3 petang.

Pada hari Jumaat, 11 Jun ini, saksikan kisah suka duka dan lucu Jonas Brothers dan Demi Lovato dalam menghabiskan percutian musim panas mereka menerusi filem Camp Rock menerusi slot Wonderful World Of Disney.

Camp Rock mengisahkan tentang Mitchie Torres (Demi Lovato), seorang remaja yang bercita-cita mahu menjadi s penyanyi profesional dan mahu menghabiskan musim panasnya di sebuah Kem Rock.

Shane, Jason dan Nate (Jonas Brothers) turut sama menyertai kem sebagai guru tarian dan perkenalan mereka dengan Mitchie mengundang pelbagai kisah yang menarik.

Pada 18 Jun pula, bersempena dengan sambutan Hari Bapa, Dadnapped lakonan Emily Osment dan George Newbern akan menemui penonton menerusi slot yang sama.

Dadnapped mengisahkan tentang Neal Morris, penulis novel misteri yang terlalu sibuk dengan kerjanya sehingga kurang menghabiskan masa bersama anaknya, Melissa.

Neal kemudian diculik oleh peminat fanatiknya dan Melissa melancarkan misi untuk menyelamatkan ayahnya, sama seperti watak novel yang dihasilkan Neal.

Menerusi slot Jom Relaks yang disiarkan setiap hari Isnin hingga Khamis pada pukul 3 petang pula, TV3 menyediakan pelbagai kisah dongeng yang berbeza setiap hari buat tatapan umum.

Pada hari ini, slot Jom Relaks menyiarkan kisah Lagenda Ande Ande Lumut yang menceritakan tentang perkahwinan antara Raden Panji dengan Dewi Chandra Kirana tidak dapat diteruskan akibat gempa bumi.

Dewi Chandra Kirana hilang ketika kejadian itu dan Raden Panji berusaha mencarinya walaupun dihalang oleh kedua-dua ibu bapanya.

Viola Dan Peri Langit pula menceritakan tentang Viola, anak yatim-piatu didera oleh penjaganya, Yuli dengan menjadikannya sebagai pembantu rumah.

Nasib Viola terbela apabila pada suatu hari, Orang Kaya Gunawan bertemu dengannya dan mengambil keputusan mengajak Viola tinggal bersama keluarganya.

Si Eneng Dan Si Entong yang disiarkan pada khamis, 10 Jun ini mengisahkan persahabatan Eneng, seorang gadis miskin dengan Entong, seorang remaja lelaki anak orang kaya.

Walaupun berasal dari latar belakang yang berbeza, Eneng dan Entong menjadi kawan baik dan selalu membantu mereka yang memerlukan pertolongan.

Turut akan disiarkan pada minggu seterusnya ialah kisah dongeng Sangkuriang, Manusia, Ikan Dan Anak Tiri, Lagenda Dendam Danau Tak Sudah dan Damar Wulan.

Jangan lepaskan peluang menonton pelbagai rancangan yang menarik ini sepanjang cuti sekolah.

Sumber : Utusan Malaysia