KUALA LUMPUR - Grand Prix Malaysia 2010 yang dilancarkan, semalam bertemakan I Love F1 bakal menjanjikan aksi paling sengit dalam perlumbaan Formula Satu (F1) musim ini.
Pengerusi Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Datuk Mokhzani Mahathir berkata, kemasukan empat pasukan baru dan kemunculan semula juara dunia sebanyak tujuh kali, Michael Schumacher adalah faktor pemangkin yang bakal menjadikan perlumbaan ini lebih kompetitif.
Sementara tema kempen 'I Love F1' katanya, dipilih bagi merangsang minat dan meningkatkan kesedaran rakyat negara ini tentang sukan itu, sejajar dengan sokongan terhadap slogan 1Malaysia di kalangan kaum di negara ini.
''Kita jangkakan bilangan peminat yang akan menyaksikan perlumbaan pada tahun ini akan bertambah daripada perlumbaan tahun lepas.
''Saya jangka jumlah penonton pada hari akhir perlumbaan tahun ini mampu mencapai 100,000 orang berbanding rekod 120,000 orang untuk keseluruhan dua hari perlumbaan pada 2008.
''Malah, perlumbaan ini juga dapat disaksikan terus oleh negara-negara Eropah memandangkan ia akan bermula pukul 4 petang seperti yang dipersetujui oleh Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA),'' katanya pada sidang akhbar selepas pelancaran Grand Prix Malaysia di Dewan Filharmonik Petronas dekat KLCC, semalam.
Pelancaran yang dibuat oleh Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek itu turut disaksikan oleh mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas, Tan Sri Hassan Merican.
Yang lain ialah Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Ahmad Razlan Razali.
Litar Sepang merupakan perlumbaan ketiga dalam kalendar musim ini, selepas saingan F1 membuka tirai di Grand Prix Bahrain, Sakhir pada Mac dan Grand Prix Australia berikutnya.
Empat pasukan baru yang bakal memikul cabaran Grand Prix musim ini ialah Lotus F1 racing dari Malaysia, US F1 Team (Amerika Syarikat), Virgin Racing (Britain) dan Campos Meta (Sepanyol).
Dalam pada itu, Razlan memberitahu, harga tiket untuk menyaksikan perlumbaan tahun ini adalah serendah RM100 - sama seperti musim-musim lalu, malah diskaun juga akan diberikan kepada pelajar dan pakej istimewa untuk berkumpulan.

Recent blog comments
40 weeks 4 days ago
42 weeks 5 days ago
42 weeks 5 days ago
42 weeks 5 days ago
42 weeks 5 days ago
43 weeks 4 days ago
43 weeks 4 days ago
43 weeks 4 days ago
43 weeks 4 days ago
43 weeks 4 days ago