ISTANBUL 10 Nov. – Tan Sri Muhyiddin Yassin percaya Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) mampu menjadi organisasi yang lebih bermakna kepada negara anggota khususnya dari sudut membangunkan ekonomi negara-negara Islam yang sebahagiannya masih lagi miskin.
Timbalan Perdana Menteri berkata, hasil Sidang Ekonomi Jawatankuasa Kerja Kerjasama Ekonomi dan Perdagangan OIC (COMCEC) yang dihadirinya semalam menunjukkan perkembangan positif itu berbanding sebelum ini di mana OIC lebih dilihat sebagai organisasi politik.
Katanya, negara-negara OIC bersungguh-sungguh mahu supaya OIC memberikan tumpuan agar pelan tindakan ekonomi yang disediakan sejak dulu dilaksanakan termasuk Protokol Dagangan Pilihan Khas (Pretas) OIC.
“Maknanya ada keperluan supaya perancangan yang disusun sekretariat COMCEC ini dapat memberikan faedah kerana kita tidak mahu OIC jadi talk shop, berbincang tapi tidak hasilkan sesuatu untuk negara anggota.
“Namun daripada ucapan pemimpin OIC semalam, ramai komited dan bersedia ke arah ini dan sesetengah negara kaya seperti Kuwait sanggup menyediakan dana dan ini menunjukkan ada perkembangan yang menggalakkan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media Malaysia di hotel kediamannya sebelum berlepas pulang ke ibu negara di sini hari ini.
Hadir sama Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Tun Mahathir yang mewakili negara pada Mesyuarat Peringkat Menteri COMCEC Sabtu lalu.
Menurut Muhyiddin, bagi melihat kemajuan ekonomi negara OIC, Malaysia sememangnya bersedia untuk terlibat secara aktif dalam setiap peringkat jawatankuasa yang ditubuhkan termasuk dalam COMCEC.
Katanya, Malaysia tidak memperoleh sebarang faedah apabila bersetuju membuka ruang pasaran kepada negara OIC tetapi kerana sebahagian besar negara anggota masih miskin dan membangun, maka ia dilakukan untuk melihat lebih banyak dagangan dilakukan.
Sehubungan itu, katanya, negara kaya OIC perlu meningkatkan pelaburan ke negara-negara miskin dengan membawa modal untuk membolehkan negara yang berkenaan mewujudkan industri dan peluang pekerjaan.
“COMCEC ditubuhkan untuk menggalakkan ekonomi dan mereka melihat Malaysia sebuah negara Islam yang sudah maju.
“Jadi, ramai nak bekerjasama dan memohon bantuan kepada kita dan ini dari satu sudut menunjukkan penghormatan kepada pencapaian tinggi Malaysia dalam bidang ekonomi,” jelasnya.
Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, jumlah dagangan antara negara-negara OIC harus dipertingkatkan biar pun angka terbaru menunjukkan ia semakin bertambah.
Katanya, langkah itu perlu memandangkan masih banyak lagi skop yang belum diterokai dan ia merupakan satu aspek yang sepatutnya tidak begitu sukar untuk dilaksanakan.
“Bagi saya peranan itu ada, dan Malaysia menyatakan kesanggupan untuk terlibat secara langsung,” ujarnya.
Pada perkembangan berasingan, Muhyiddin turut menerima kunjungan Ketua Pegawai Eksekutif Turkcell, Ahmet Eti yang berminat untuk membekalkan kandungan bagi pembelajaran sains dan matematik ke sekolah-sekolah di Malaysia.
“Tujuan kandungan itu ialah untuk memudahkan pelajar mendapatkan pendidikan tambahan dalam subjek tersebut yang dianggap antara terbaik di dunia.
“Produk itu telah digunakan di banyak negara. Di Turki sahaja 15 juta pelajar menggunakannya dan apa-apa pun kita minta Turkcell nyatakan secara rasmi untuk kita lihat secara lanjut,” katanya yang juga Menteri Pelajaran.
Sumber : Utusan Malaysia

Recent blog comments
40 weeks 4 days ago
42 weeks 5 days ago
42 weeks 5 days ago
42 weeks 5 days ago
42 weeks 5 days ago
43 weeks 4 days ago
43 weeks 4 days ago
43 weeks 4 days ago
43 weeks 4 days ago
43 weeks 4 days ago