How to Login   |   Forgot Password?   |   Register as Member
 
Malaysia

PBNS kaji sambutan untuk Rusa

SEREMBAN - Setelah berjaya menamatkan kemarau penantian selama 61 tahun untuk merangkul Piala Malaysia kelmarin, Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan (PBNS) kini sedang memikirkan kaedah terbaik bagi mengadakan satu sambutan yang bersesuaian bagi menyambut kepulangan piala berkenaan di bumi Adat Perpatih ini.

Presiden PBNS, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, kejayaan berkenaan cukup manis buat skuad Hoben Jang Hoben itu apatah lagi hadiah itu cukup bermakna buat peminat yang selama ini memberi sokongan padu kepada skuad kendalian Wan Jamak Wan Hassan.

Beliau yang juga Menteri Besar Negeri Sembilan menjelaskan, sambutan yang dijangka akan dibuat secara besar-besaran itu dibuat sebagai tanda penghormatan kepada Skuad Rusa yang berjaya menjulang piala berprestij itu.

"Sebenarnya kita ada cadangan untuk membuat sambutan secara besar-besaran bagi pemain dan pegawai dan PBNS kini sedang mengadakan perbincangan bagi mengkaji kaedah atau bentuk sambutan yang akan diadakan kelak," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, semalam.

Dalam pada itu, Jurulatih Negeri Sembilan, Wan Jamak Wan Hasan turut melahirkan rasa gembira dan berpuas hati apabila skuad kendaliannya akhirnya berjaya merealisasikan harapan rakyat Negeri Sembilan dengan membawa pulang Piala Malaysia ke negeri ini.

Katanya, pemain-pemain negeri malam kelmarin bermain dengan baik dan berjaya memberi fokus bermain dalam satu pasukan biarpun ada beberapa pemain yang pertama kali bermain ke peringkat final.

Jelasnya, faktor gol awal merupakan kunci buat pasukan negeri untuk meneruskan rentak perlawanan dengan bersemangat.

"Dalam perlawanan akhir, semua jurulatih mahukan gol awal sebab ia penentu perlawanan. Gol itu menyuntik semangat serta keyakinan pemain dan sekali gus melunturkan moral dan memberi tekanan kepada pemain lawan," katanya.

Biarpun acapkali penyokong lawan melakukan provokasi terhadap skuad Hoben Jang Hoben itu, Wan Jamak memuji sikap pemain dan penyokong yang menunjukkan tahap disiplin yang baik sehingga tamat perlawanan.

Dalam pada itu, Mohamad turut mengesahkan pihaknya tidak memberi cuti khas atas kemenangan ini.