How to Login   |   Forgot Password?   |   Register as Member
 
Malaysia

Pelumba tuan rumah mahu gegar Teluk Intan

KUALA LUMPUR - Dua pelumba paling berpengalaman dalam kategori CP 130 Kejuaraan Cub Prix Malaysia, Ahmad Fazli Sham dan Ahmad Fuad Baharudin menjanjikan aksi menarik pada perlumbaan di tempat sendiri, di Perak.

Dijadualkan berlangsung pada 7 dan 8 Ogos ini di Teluk Intan, pelumba kelahiran Taiping, Fazli dari pasukan Shell Advance Yamaha Maju Motor, mahu melebarkan kelebihan sebagai pendahulu dengan 101 mata ketika ini.

Pelumba veteran, Fuad dari pasukan Petronas Sprinta Yamaha AHM Racing, tetap mengintai peluang untuk mempertahankan kejuaraan kategori expert musim lalu.

Dia kini di tangga kedua dengan 79 mata, 22 mata di belakang Fazli, manakala Norizman Ismail dari SCK Honda Racing di tempat ketiga, satu mata di belakang Fuad dengan 78 mata.

Saingan minggu depan dihangatkan lagi apabila kedua-dua pelumba tidak mahu mengecewakan penyokong setia masing-masing.

Menambahkan lagi tekanan, perlumbaan akan berlangsung di litar berkecuali, kerana tiada pelumba yang pernah beraksi di Teluk Intan.

Lebih daripada itu, Fazli Sham dan Fuad berhajat untuk mengukuhkan nama dalam sejarah cub prix, sebaris dengan pelumba legenda dari Perak seperti M. Megananthan, Wazi Abd Hamid dan bekas pelumba MotoGP Shahrol Yuzy Ahmad Zaini.

Menurut Yuzy, kedua-dua pelumba itu dijangka sama hebat pada aksi di Teluk Intan, walaupun litar di bandar tersebut lebih teknikal.

"Berdasarkan bentuk litar dengan pusingan-U dan selekoh berkelajuan tinggi, Fazli dan Fuad sama hebat untuk mencatat kemenangan.

''Ia merupakan litar baru bagi kedua-dua mereka dan jika saya diberi pilihan, saya memilih Fuad memiliki peluang lebih baik,'' kata Yuzy.

Pada saingan di atas litar di tengah-tengah pusat bandar Teluk Intan sepanjang 1,305 meter, para pelumba berdepan enam selekoh mencabar pada perlumbaan Pusingan 6.

Kali terakhir kejuaraan cub prix berlangsung di Perak ialah pada 2008.

Sebelum itu, Perak menjadi litar tetap perlumbaan sejak 1997 di beberapa lokasi seperti Sri Manjung, Ipoh dan Taiping.

Promoter perlumbaan Safe Aim Mutual Sdn. Bhd. (SAM) mahu memberi peluang kepada peminat di Teluk Intan menyaksikan perlumbaan di tempat mereka sendiri.