How to Login   |   Forgot Password?   |   Register as Member
 
Malaysia

Pembelian berbaloi

HOUSTON - Manchester United berjaya menjimatkan berjuta-juta pound dengan membeli penyerang muda Mexico, Javier Hernandez sebelum dia menyinar pada Piala Dunia, kata pengurus United, Alex Ferguson.

Hernandez, yang menyertai pasukan barunya itu di Houston, kelmarin, mungkin membuat penampilan pertama bersama United hari ini apabila menentang skuad MLS All Stars.

Ferguson, yang akan mendapatkan keputusan kecergasan pemain berusia 22 tahun itu sebelum memutuskan sama ada akan menurunkannya atau tidak, memuji skuad pencari bakat mereka kerana berjaya mendapatkan penyerang itu dari kelab Mexico, Chivas de Guadalajara.

"Saya rasa skuad pencari bakat kami berhak mendapat 10 daripada 10 markah penuh kerana mengenal pasti bakatnya sebelum Piala Dunia. Saya fikir jika kami mengadakan rundingan selepas tamat Piala Dunia keadaan pasti amat sukar.

"Saya percaya banyak pasukan yang cuba mendapatkannya dan itu mungkin menyebabkan kami terpaksa membayar kos dua atau tiga kali ganda lebih tinggi berbanding sekarang,'' kata Ferguson.

United tidak mendedahkan yuran perpindahan yang dibayar kepada Chivas untuk mendapatkan Hernandez, bagaimanapun laporan media mengatakan, perjanjian itu melibatkan kos sekitar 7 juta pound (RM34.6 juta), ia termasuk satu aksi persahabatan di antara United dan kelab Mexico itu, Jumaat ini.

Ferguson turut memuji Chivas kerana membantu menyimpan rahsia perjanjian yang dimeterai daripada pengetahuan umum.

"Hubungan yang dibina di antara kami dan Chivas sangat hebat, mereka amat membantu dalam semua perkara.. apa yang menakjubkan, tiada seorang pun dalam kelab tersebut yang membuka mulut tentang perjanjian ini.

"Di Manchester United hampir amat mustahil untuk menutup mulut orang dan menghalang sebarang berita daripada bocor tetapi di Chivas, mereka sangat diam dan menunjukkan sikap profesional yang tinggi,'' katanya lagi.

Pada perlawanan Jumaat ini, Hernandez bakal beraksi untuk Chivas pada separuh masa pertama, dan menyarung jersi United pada babak kedua di depan ribuan penyokong Mexico di Houston.

"Dia baru menyertai kami hari ini, jadi kami kena melihat dulu bagaimana tahap fizikalnya sejak beberapa minggu lalu. Kami amat berharap dapat menurunkannya pada perlawanan Rabu ini kerana ramai masyarakat Mexico yang berada di Houston, kemunculannya pasti akan menarik kehadiran mereka.

"Kami juga mahu dia menyesuaikan diri dengan pasukan secepat yang mungkin. Apa pun, adalah tindakan yang kurang bijak jika kami menurunkannya tanpa sebarang persiapan,'' katanya lagi. -- Reuters