How to Login   |   Forgot Password?   |   Register as Member
 
Malaysia

Selangor kekal terajui Liga Super

PENYERANG Selangor, Mohd Safee Sali (kanan) berjaya merampas bola daripada pemain KL Plus, Ramesh Lai Ban Huat pada perlawanan Liga Super di Stadium Shah Alam, malam tadi. Selangor menang 1-0.

Merah Kuning semakin hampiri misi tamat kemarau kejuaraan liga.

SELANGOR semakin menghampiri misi menamatkan kemarau kejuaraan liga selama sembilan tahun, dengan terus kekal sebagai pendahulu Liga Super apabila menewaskan KL Plus 1-0 di Stadium Shah Alam malam tadi.

Pasukan bimbingan K Devan memulakan perlawanan dengan agresif apabila mencipta peluang gol seawal minit ke-10, tetapi hantaran cantik R Surendran dari sebelah kiri kawasan KL Plus gagal disudahkan Rudie Ramli walaupun tiada pemain lawan mengawalnya ketika itu.

Kegagalan tuan rumah menyempurnakan peluang awal itu memberi keyakinan kepada KL Plus untuk mula mengawal permainan dengan pemain tengahnya, Reeshafiq Alwi berjaya menjana jentera tengah pelawat dengan baik pada babak pertama.

Peluang terbaik KL Plus pada babak pertama hadir pada minit ke-30, apabila Reeshafiq melakukan umpanan tepat kepada Mohd Lot Abu Hassan yang melakukan rembatan kencang dari hujung kotak penalti Selangor, tetapi percubaannya itu berjaya didakap kemas penjaga gol, Hamsani Ahmad.

Selangor mula memperkemaskan permainan pada babak kedua dengan kemasukan Amirulhadi Zainal dan pemain sayap itu muncul wira Merah Kuning apabila menyempurnakan hantaran Surendran pada m-78 untuk mengesahkan tiga mata berharga.

Di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, Perlis terus menghambat Selangor dalam perebutan tangga teratas dengan kemenangan 4-0 ke atas Negeri Sembilan dengan gol hatrik Nizaruddin Yusof (m-26, 56, 77) dan Ahmad Fakri Shaarani (m-89).

Di Stadium Darulaman, jaringan tunggal Mohd Afif Aminuddin (m-90) membolehkan Kedah menang tipis 1-0 ke atas UPB-MyTeam, manakala Terengganu turut menang di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah dengan menewaskan Kelantan 2-0.

Di Stadium Darulmakmur, Pahang mengatasi Polis 3-1 dan Pulau Pinang menewaskan KM Naza 3-0 di Stadium Bandaraya manakala Johor FC membawa pulang tiga mata dengan menewaskan Perak 3-0 di Stadium Perak.

Sumber : Berita Harian