
Atlet lontar peluru Paralimpik,
Hisam Che Soh gigih berlatih di padang
Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil, semalam.KUALA LUMPUR - Tinggal kira- kira sebulan sahaja lagi Sukan Para ASEAN V (KL'09) akan berlangsung di negara ini, namun semangat berkobar-kobar yang ditunjukkan oleh atlet paralimpik negara seolah-olah temasya itu akan berlangsung esok.
Tanpa menghiraukan panas terik, mereka tetap berlatih, malah ada antara mereka yang telah pun lebih awal mempamerkan kemuncak prestasi.
Persiapan atlet negara berjalan lancar, malah telah menunjukkan peningkatan cemerlang, kata ketua jurulatih, R. Jeganathan.
Katanya, sokongan padu dan bantuan penuh yang diberikan oleh semua pihak termasuk Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menyemarakkan semangat mereka berlatih.
Menurut beliau, sejak menjalani latihan pusat, April lalu, rata-rata atlet telah menunjukkan peningkatan prestasi berbanding di Sukan SEA Korat, Thailand.
"Malah, ada yang telah berjaya memecah rekod Sukan Para Games.
"Hisam Che Soh merupakan atlet lontar peluru yang telah memecah rekod tersebut di Sirkit Zon 3 di Seremban, Mei lalu.
"Ia merupakan satu petanda baik buat negara untuk mengusai kejohanan yang akan diadakan di Kuala Lumpur, Ogos ini," katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.
Selain berterima kasih dengan sokongan penuh oleh KBS, Jeganathan berkata, pihaknya juga sangat menghargai kerjasama daripada semua yang terlibat membantu menjayakan persiapan ke arah temasya itu.
Katanya, meskipun ekonomi dunia mengalami kemelesetan ketika ini, sokongan yang tidak berbelah bahagi yang ditunjukkan oleh pihak tersebut ternyata telah membangkitkan semangat tinggi di kalangan atlet istimewa tersebut.
Perkara tersebut turut diakui oleh atlet olahraga T36, Mohd. Raduan Emeari yang merupakan peserta pusingan akhir 100 meter Sukan Paralimpik Beijing tahun lalu.
"Kami mendapat sokongan penuh daripada banyak pihak. Selain mendapat khidmat perubatan dan pemakanan yang terbaik, kami juga mendapat elaun yang berpatutan.
"Semua ini meningkatkan lagi semangat kami untuk melakukan yang terbaik di Sukan Para ASEAN yang akan berlangsung Ogos ini," katanya.
Sumber : Utusan Malaysia

Recent blog comments
40 weeks 5 days ago
42 weeks 6 days ago
42 weeks 6 days ago
42 weeks 6 days ago
42 weeks 6 days ago
43 weeks 5 days ago
43 weeks 4 days ago
43 weeks 5 days ago
43 weeks 5 days ago
43 weeks 5 days ago