How to Login   |   Forgot Password?   |   Register as Member
 
Malaysia

Siti tak gentar jumpa pro

TIDAK dinafikan Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman mula merasai tekanan untuk menampilkan permainan cemerlang di Kejohanan Wanita Dunia, Las Vegas mulai 24 Julai ini apatah lagi selepas namanya melonjak dengan gelaran Ranking Masters Dunia yang dibawa pulang dari Itali, bulan lalu.

Lebih-lebih lagi edisi kali ini membuka ruang kepada pemain bertaraf profesional khususnya ‘barisan impian’ dari Amerika Syarikat, Korea Selatan, England dan Australia dan sudah pasti Malaysia tidak ketinggalan menampilkan aksi dua pemain profesionalnya, Shalin Zulkifli dan Esther Cheah selain Wendy Chai, Zandra Aziela Ibrahim Hakimi dan Sharon Koh.

Justeru bukan sedikit pengorbanan yang harus Siti Safiyah, 18, lakukan. Bukan saja menjalani latihan intensif di lorong bowling dan gimnasium sejak beberapa bulan lalu, dia juga terpaksa menangguhkan pengajian dalam bidang multimedia kreatif di sebuah kolej.

“Saya tangguhkan pengajian satu semester bagi menumpu kepada persediaan ke kejohanan ini dan menyertai kem latihan.

“Jika ditanya mengenai tekanan, ia adalah sesuatu yang normal dan walaupun tertekan, kita tidak seharusnya berputus asa, sebaliknya berusaha bersungguh-sungguh hingga akhir permainan,” katanya yang dibantu pegawai Institut Sukan Negara, Rebecca Wong, dalam menangani sebarang halangan mental ketika kejohanan.

Jelas Siti Safiyah, kejayaannya pada Kejohanan Kebangsaan awal tahun ini menyemarakkan semangatnya untuk seterusnya mencapai tahap lebih tinggi.

“Kami akan memberi tumpuan untuk mempertahankan pingat emas berpasukan terlebih dahulu dan jika ada rezeki, mungkin saya sasarkan untuk acara individu, keseluruhan dan masters,” katanya yang bakal ditemani ibunya Faudziah Mokhtar, 48, ketika bertanding kelak.

Siti Safiyah dan seorang lagi pemain bowling kebangsaan, Adrian Ang, semalam menerima ganjaran berupa tilam jenama Eclipse daripada Bedding Solutions Malaysia dan katil daripada Harvey Norman Malaysia atas kejayaan masing-masing pada Ranking Masters Dunia dan Kejohanan Asia.

Kongres Tenpin Bowling Malaysia (MTBC) yang diwakili Setiausaha Agungnya, Sidney Tung turut menerima komputer riba, perakam suara digital dan kamera digital atas sumbangan mereka melahirkan jaguh bowling bertaraf dunia seperti Siti Safiyah dan Adrian.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Pengarah Urusan Bedding Solutions, Peter Yau dan Pengurus Besar Bahagian Tilam Harvey Norman, Eddy Ng.

Adrian ketika ditemui semalam, turut berhasrat mengekalkan rentak konsistennya dengan beraksi cemerlang di Sukan Dunia di Kaoshiung, Taiwan, pada 16-26 Julai bersama-sama Zatil Iman Abdul Ghani.

“Saya berazam melakukan yang terbaik di sana kelak, tidak kiralah apa pingat yang dimenangi. Kami akan ke sana dan menikmatinya,” katanya yang bakal berdepan jaguh benua Asia, Amerika dan Eropah.

Sumber : myMetro