KUALA LUMPUR - Selepas memilih untuk tidak bertanding pada Sukan Asia di China, November ini, beregu wanita No. 1 negara, Wong Pei Tty-Chin Eei Hui mungkin terlepas satu lagi kejohanan besar - Kejohanan Dunia di Paris, bulan depan.
Ketua jurulatih beregu kebangsaan, Rexy Mainaky berkata, beliau tidak teragak-agak untuk menggugurkan Pei Tty-Eei Hui daripada skuad ke Paris 23-29 Ogos ini, sekiranya mereka gagal mempamer aksi meyakinkan pada Terbuka Macau yang sedang berlangsung dan Terbuka Taiwan, minggu depan.
Biarpun menggugurkan bekas pasangan No. 1 dunia itu bermakna, Malaysia tidak akan mempunyai wakil dalam saingan beregu wanita, namun Rexy menegaskan, adalah lebih baik tiada wakil daripada menurunkan "pemain sakit".
"Perkembangan kecederaan Pei Tty tidak bagus. Keadaan lutut kanannya masih teruk dan memerlukan rawatan, saya tidak pasti apakah dia boleh bermain baik andai beraksi pada Kejohanan Dunia nanti.
"Apa pun untuk bersikap adil, kita akan memberi peluang kepadanya untuk melihat kemampuan sebenar pada Terbuka Taiwan minggu depan, selain Terbuka Macau yang bermula esok. Jika keadaannya bertambah buruk, saya tidak punyai pilihan lain, kecuali menggugurkannya daripada Kejohanan Dunia. Kita tidak boleh bawa pemain sakit,'' kata Rexy pada sesi latihan skuad kebangsaan di Stadium Juara, Bukit Kiara semalam.
Kecederaan lama yang terus membelenggu lutut Pei Tty menyebabkan dia dan Eei Hui gagal memberin permainan terbaik pada Grand Prix Emas Terbuka Malaysia di Johor, dua minggu lalu apabila kalah 23-25, 12-21 kepada pasangan bidan terjun Indonesia, Melati Nadya-Vita Marissa.
Malah, Eei Hui juga terpaksa tampil bersama pasangan baru, Sabrina Chong pada Grand Prix Kebangsaan Terbuka Kedah minggu lalu selepas Pei Tty dinasihatkan berehat.
Menurut Rexy, keadaan kecederaan Pei Tty sepatutnya memerlukan pembedahan, namun pemain berusia 29 tahun itu memilih untuk menangguhkan hasrat tersebut kerana mahu mewakili negara pada Sukan Komanwel di New Delhi, 3-14 Oktober ini.
"Pei Tty merasakan peluangnya dan Eei Hui pada Sukan Komanwel lebih cerah berbanding Sukan Asia, sebab itu dia menangguhkan hasrat untuk melakukan pembedahan dan beraksi di New Delhi.
"Sebenarnya, cabaran Sukan Komanwel juga tidak mudah. Pasangan Singapura (Shinta Mulia Sari-Yao Li) mampu menjadi halangan terbesar,'' kata Rexy lagi, yang turut menjangkakan Pei Tty memerlukan sekurang-kurangnya enam bulan untuk pulih selepas dibedah.

Recent blog comments
1 year 12 weeks ago
1 year 14 weeks ago
1 year 14 weeks ago
1 year 14 weeks ago
1 year 14 weeks ago
1 year 15 weeks ago
1 year 15 weeks ago
1 year 15 weeks ago
1 year 15 weeks ago
1 year 15 weeks ago