How to Login   |   Forgot Password?   |   Register as Member
 
Malaysia

Tonto himpit JPJ

Pengusaha lombong pasir upah samseng halang pihak berkuasa

SEPANG: Pengusaha kawasan sekitar lombong pasir dekat Paya Indah Wetlands di sini, yang giat menjalankan kerja mengorek dan mengangkut pasir, mengupah kumpulan dipercayai samseng atau tonto bagi menghalang pihak berkuasa mengambil tindakan atau membuat pemeriksaan terhadap lori mengangkut pasir dari situ.

Sepasukan empat anggota penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor menjadi mangsa pertama kumpulan itu kira-kira jam 11 pagi semalam apabila kenderaan pacuan empat roda milik jabatan yang mereka naiki dikepung tonto menggunakan lebih 10 kereta bagi menghalang operasi JPJ.

Semalam, Berita Harian melaporkan puluhan lori mengangkut keluar pasir dari Kampung Olak Lempit berhampiran Paya Indah Wetlands tanpa mengendahkan kekhuatiran pelbagai pihak terhadap kerosakan alam sekitar.

Kerakusan anak syarikat kerajaan Selangor, Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB), melombong pasir di Kampung Olak Lempit, Mukim Tanjung 12 berhampiran Paya Indah Wetlands di sini, dikatakan mengubah landskap kawasan itu hingga membentuk kawah besar.

Sementara itu, wakil Berita Harian yang turut menyaksikan tindakan samseng itu mendapati, mereka mengekori pacuan empat roda JPJ itu sejak awal dan mula mengepung anggota penguat kuasa yang ketika itu masih berada dalam kenderaan mereka.

Malah kenderaan wakil akhbar ini juga diekori sebuah kereta sebaik keluar dari pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri Dengkil, Datuk Marsum Paing di Pekan Dengkil hingga ke kawasan Wetlands sejauh kira-kira lima kilometer.
Ketika itu kenderaan JPJ yang dinaiki empat anggota sudah berhenti berdekatan jalan masuk ke Wetlands dan bersedia menjalankan pemeriksaan terhadap lori pasir yang keluar masuk di situ.

Menyedari tindakan samseng itu, anggota penguat kuasa JPJ tidak keluar dari kenderaan, manakala kereta terbabit terus mengepung dan menghalang mereka selama kira-kira sejam.

Kumpulan itu hanya beredar dari situ selepas sebuah kereta peronda polis melalui kawasan itu, manakala anggota JPJ juga beredar dari situ bagi mengelak kejadian tidak diingini.

Samseng itu terus mengekori pacuan empat roda jabatan itu ke jalan utama sejauh kira-kira 100 meter dari situ.

Pengarah JPJ Selangor, Yusoff Ayob, berkata penguat kuasa pergi ke kawasan itu untuk menjalankan pemeriksaan biasa terhadap lori pasir yang dilaporkan berulang alik di situ.

“Bagaimanapun, selepas kereta mereka di kepung, ketua kumpulan penguat kuasa itu mengambil keputusan beredar untuk mengelakkan kejadian tidak diingini.

“Kita juga tidak membuat aduan polis kerana berpendapat keadaan itu tidak mengancam nyawa pegawai dan dipercayai mereka hanya mahu menakut-nakutkan kami,” katanya kepada Berita Harian.

Beliau berkata, tindakan samseng itu tidak menghalang JPJ daripada mengambil tindakan terhadap lori pasir yang didapati menyalahi peraturan, walaupun keadaan itu sering dihadapi mereka jika melakukan operasi di kawasan lombong pasir.

Katanya, JPJ tidak mengambil kira sama ada lori pasir terbabit membawa bahan itu dari lombong haram atau sebaliknya, tetapi menguatkuasakan undang-undang ketika ia berada di jalan raya mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Saya difahamkan ibu pejabat JPJ akan mengadakan mesyuarat dengan pihak polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia untuk menangani masalah tonto yang mengganggu tugas pihak berkuasa,” katanya.

SUmber : berita harian