How to Login   |   Forgot Password?   |   Register as Member
 
Malaysia

United calar harapan kejuaraan Arsenal

LONDON, England - Kekalahan 1-3 di gelanggang sendiri kepada Manchester United, kelmarin, memberi tamparan hebat kepada Arsenal dalam usahanya memburu kejuaraan Liga Perdana, kata pengurusnya, Arsene Wenger.

''Sukar untuk menerima keputusan ini, namun cukup mudah untuk menerangkannya.

''Kami beraksi di bawah tahap sebenar dan ia merupakan punca kami ditewaskan. Terlalu banyak ruang diberikan dan, perasaan takut kepada lawan.

''Oleh itu, kami perlu bersatu kembali dan memberikan persembahan terbaik pada Ahad ini apabila bertemu dengan Chelsea,'' kata Wenger selepas perlawanan di Stadium Emirates.

Tambah Wenger, kekalahan itu amat perit untuk ditelan, namun mereka akan belajar daripada kesilapan.

''Perlawanan ini merupakan antara aksi kelas tertinggi di dalam bola sepak. Kami memerlukan sesuatu yang istimewa sekarang untuk kekal dalam perebutan kejuaraan, saya mula sedar akan hal itu,'' katanya.

Arsenal bakal berdepan dengan cabaran besar semasa bertandang ke Stamford Bridge bertemu pendahulu liga, Chelsea yang telah menewaskan pasukan itu 3-0 di Emirates pada November lalu, iaitu kekalahan terakhir Gunners sebelum bertemu United.

Sekiranya Chelsea menang ke atas Hull esok dan kemudian mengalahkan Arsenal, Chelsea akan berada 11 mata di depan pasukan bimbingan Wenger.

''Sebelum kami mula memikirkan untuk menang, kami ternyata perlu fokus dan memberikan persembahan berbeza, berbanding dengan apa yang kita tunjukkan pada malam ini,'' ujarnya.

Sementara itu, pengurus United, Alex Ferguson berkata, dia akan mengikuti perkembangan perlawanan esok, sambil mengharapkan Chelsea akan keciciran mata.

''Arsenal belum terkeluar sepenuhnya daripada perebutan kejuaraan, diharapkan mereka dapat memberikan tentangan sengit dan memungut mata, ,'' katanya.

Ferguson memuji persembahan pasukannya khususnya, pemain sayap dari Portugal, Nani dan penyerang England, Wayne Rooney, yang menjaringkan gol ke-100 untuk memberikan pasukannya mendahului 2-0 sebelum separuh masa pertama.

''Rooney cukup mengagumkan hari ini. Dia menjadi pemain utama di sebalik kejayaan ini, dan Arsenal ternyata tidak boleh mengawal ketangkasannya.

''Persembahan terakhir Nani dalam tiga perlawanan ternyata bermutu tinggi dan perlawanan hari ini antara yang terbaik pernah disaksikan. Dia sudah berumur 23 tahun dan bertambah matang. Diharapkan persembahannya akan bertambah terus meningkat pada setiap minggu,'' katanya. - REUTERS