Close

Poll

Setahun pelaksanaan GST, pemahaman masyarakat terhadap pelaksanaannya masih kabur.:
MALAYSIA  
 
Enter your keywords:
 

Ada perubahan dalam diri

Rezeki buat penyanyi, Khai Bahar apabila salah satu impiannya iaitu membawa ibu bapanya menunaikan umrah, bakal direalisasikan.

Menjelang 31 Oktober ini, penyanyi lagu Luluh itu akan terbang ke Istanbul, seterusnya Tanah Suci untuk menunaikan ibadah itu dengan kerjasama daripada badan kemanusiaan, Syria Care Malaysia.

“Saya akan dibawa oleh Syria Care Malaysia untuk sesi ziarah dan umrah ke Istanbul pada 31 Oktober ini sebelum ke Madinah pada 4 November.

 

“Dah ada rezeki lebih, saya akan membawa kedua-dua ibu bapa untuk turut sama kerana itu adalah impian sejak kecil,” katanya.

Ditanya mengenai persiapannya, Khai mengakui semuanya sudah dipersiapkan.

“Saya akan menjalani kursus umrah minggu depan. Pada awalnya, saya merancang menunaikan umrah bersama ibu bapa pada tahun depan.

“Tapi, rezeki daripada Allah datang lebih awal. Apabila dilamar Syria Care Malaysia untuk menjadi sebahagian daripada mereka, saya sangat bersyukur,” katanya.

Khai juga mengakui, sedikit sebanyak peningkatan usia membuatkannya berubah ke arah kebaikan.

“Sedikit sebanyak, ada perubahan yang saya dapat rasakan dalam diri. Setiap manusia ada pengalaman masa lalu dan tentunya mahu berubah ke arah kebaikan.

“Perubahan itu datang dengan sendirinya, seiring dengan peningkatan usia. Peminat saya juga menjadi penyumbang untuk perubahan,” katanya.

Menurut Khai, peminatnya terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat dan latar belakang membantunya memperbaiki diri di samping doa kedua-dua ibu bapanya.

“Kerana itu saya menerima pelbagai input daripada mereka yang mahu melihat bukan saja menjadi artis, tetapi juga manusia yang berubah ke arah positif,” katanya.

INGIN KE SYRIA

Menjadikan Faizal Tahir sebagai idola, Khai atau nama sebenarnya Muhammad Khairul Baharuddin, 23, juga menyimpan impian ke Syria.

“Saya memang teringin menjejakkan kaki ke Syria. Saya nak tengok sendiri kehidupan mangsa peperangan dan pelarian di sana. Bagaimanapun, atas faktor keselamatan, saya tidak dibenarkan ke negara itu,” katanya.

Ditanya mengenai kerja amal yang pernah dia terbabit, Khai memilih merahsiakannya.

“Itu adalah antara saya dengan Tuhan. Jadi, rasanya lebih baik saya saja yang tahu,” katanya.

Mengulas perkembangan terkini, Khai masih lagi mempromosikan single terbaru berjudul Luluh dan selepas ini ada kejutan buat peminatnya.

“Saya akan bekerjasama dengan Siti Nordiana. Memang mimpi menjadi kenyataan kerana sejak awal pembabitan, saya pasang impian untuk berduet dengannya,” kata Khai. -Syafil Syazwan Jefri

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Source mymetro