Close

Poll

Setahun pelaksanaan GST, pemahaman masyarakat terhadap pelaksanaannya masih kabur.:
MALAYSIA  
 
Enter your keywords:
 

BEKAS pramugara penipu didenda RM7,100

BEKAS pramugara didenda RM7,100 atau 20 bulan penjara jika gagal membayar denda oleh Mahkamah Majistret Alor Setar hari ini atas enam kesalahan menyembunyikan wang rakannya yang ingin membeli telefon pintar daripadanya.

Majistret Mohd Aizuddin Zolkeply menjatuhkan hukuman itu ke atas Mohammad Nazirul Nazmi Adnan, 26, selepas tertuduh mengaku bersalah terhadap semua pertuduhan itu.

Bagi keenam-enam pertuduhan itu tertuduh didakwa dengan curang menyembunyikan wang milik Muhamad Naim Nordin, 27, (pengadu) berjumlah RM2,900 dengan memasukkannnya dalam akaun Maybank miliknya menerusi beberapa transaksi.


 

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Maybank Bulatan Kota dan Maybank Petronas Taman PKNK pada 26 dan 28 Februari jam 10 malam dan 11.23 malam serta pada 1, 4 dan 11 Mac, jam 8.23 pagi, 11.50 pagi, 4.56 petang dan 8.06 malam.

Mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM700 bagi setiap pertuduhan atau tiga bulan penjara jika gagal membayar.

Tertuduh turut diperintahkan membayar pampasan RM2,900 atau dua bulan penjara jika gagal membayarnya.

Mengikut fakta kes dibentangkan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Rifaie Mohamed Riyaludin, mangsa atau pengadu seorang peniaga burger di Taman PKNK dan mengenali tertuduh lebih enam bulan.

Pada awal Februari pengadu menghubungi tertuduh yang menawarkan penjualan telefon bimbit iPhone 7 Plus melalui aplikasi WhatsApp.

Katanya, pengadu bersetuju dengan tawaran itu sebelum dihubungi tertuduh yang meminta dia memasukkan wang secara berperingkat berjumlah RM2,900 ke akaun miliknya.

"Selepas itu, pengadu menghubungi tertuduh beberapa kali bertanyakan mengenai telefon itu, namun pelbagai alasan diberikan.

"Pengadu meminta wangnya dikembalikan namun tertuduh gagal sebelum mangsa membuat laporan di Balai Polis Alor Setar pada 30 Julai 2017.

"Tertuduh akhirnya ditangkap oleh anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar pada 4 Oktober lalu jam 7.30 malam," katanya.

Muhammad Rifaie berkata, pendakwaan memohon hukuman setimpal dikenakan kepada tertuduh yang menipu kenalannya seorang peniaga burger.

"Ini kesalahan jenayah dan moral. Seorang kawan atas dasar kepercayaan akhirnya ditipu dan mengalami kerugian RM2,900. Penat lelat, pengadu tidak berfikir panjang terus bayar seperti diminta tertuduh," katanya.

Sementara itu, peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan yang mewakili tertuduh memohon hukuman paling minimum dikenakan kepada anak guamnya.

Tertuduh katanya, adalah bekas pramugara sebuah syarikat penerbangan tambang murah yang kini tidak bekerja.

Katanya, tempoh reman enam hari cukup memberi pengajaran dan keinsafan kepada tertuduh yang berjanji tidak mengulangi kesalahan itu.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Source Mymetro