Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pemulihan ekonomi global yang perlahan dan goyah susulan krisis 2008 dan prospek yang berkurangan memberi makna dunia memerlukan dorongan baharu untuk berkembang.
“Untuk itu, OBOR atau juga Belt and Road Initiative (BRI) adalah salah satu dorongan tersebut. Tiada keraguan inisiatif itu dialu-alukan oleh kebanyakan negara dalam skop geografinya termasuk ASEAN.
“Bagi ASEAN, inisiatif ini boleh menjadi sumber pembiayaan yang penting bagi kerajaan di rantau ini untuk membangunkan infrastruktur mereka,” katanya dalam ucaptama Sidang Kemuncak Ekonomi China Sedunia (WCES) 2017, di sini malam ini.
Yang turut hadir, Naib Pengerusi Jawatankuasa Kebangsaan Persidangan Perundingan Politik Republik Rakyat China (CPPCC), C.Y. Leung.
Ahmad Zahid memberitahu, menurut laporan Bank Pembangunan Asia (ADB), negara-negara ASEAN memerlukan kira-kira AS$2.76 trilion (RM11.6 trilion) atau bersamaan lima peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) mereka untuk pelaburan infrastruktur antara 2016 dan 2030.
Jelas beliau, akses kepada pelaburan China melalui OBOR atau BRI dinilai oleh negara-negara Asia Tenggara terutama apabila pembiayaan melalui pelabur swasta dan institusi kewangan antarabangsa masih terhad dan tidak dapat memenuhi permintaan rantau itu.
Malah menurutnya, infrastruktur yang lemah menjadi penghalang kepada pertumbuhan ekonomi ASEAN, dan projek infrastruktur baharu yang digerakkan oleh BRI mampu melonjakkan prestasi ekonomi mereka.
“Di peringkat serantau, pelaburan China ke dalam pembangunan infrastruktur amat bermakna kepada pembangunan Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) memandangkan peningkatan jaringan infrastruktur adalah komponen penting dalam AEC.
“Infrastruktur yang lebih baik termasuk lebuh raya, lapangan terbang, pelabuhan dan sistem kereta api juga akan memudahkan perdagangan serta industri pelancongan sesama ASEAN,” jelasnya.
Beliau menambah, BRI akan membantu ASEAN untuk merealisasikan pelan induknya mengenai jaringan ASEAN, terutama dalam bidang perhubungan pengangkutan.
Katanya, penglibatan China dalam pembinaan pelabuhan baharu di negara-negara ASEAN dan dalam projek tren akan mempercepatkan hubungan tersebut. - UTUSAN ONLINE