Close

Poll

Setahun pelaksanaan GST, pemahaman masyarakat terhadap pelaksanaannya masih kabur.:
MALAYSIA  
 
Enter your keywords:
 

Lupus bahan bukti

DUA sahabat dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, Johor Bahru, hari ini, atas pertuduhan bersama-sama melupuskan bahan bukti membabitkan penemuan mayat seorang lelaki di hentian bas Jalan Persiaran Sungai Danga, Perling, 21 September lalu.

Tertuduh pertama, D Khishendra, 24, yang juga operator pengeluaran kilang di Singapura dan rakannya, K Mathan Raj, 31, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Kamarudin Kamsun.

 

Berdasarkan kertas pertuduhan, kedua-dua mereka didakwa secara bersama melupuskan bahan bukti membabitkan penemuan mayat seorang lelaki.

Mereka didakwa secara bersama menyebabkan keterangan mengenai kesalahan dilakukan itu hilang dengan mengetahui cara sedemikian mengelak pesalah daripada hukuman undang-undang.

Kedua-dua mereka dituduh melakukannya di hentian bas Jalan Persiaran Sungai Danga, Perling pada 7.50 pagi, 21 September lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 201 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Suhaila Shefiuddin manakala Khishendra diwakili peguam R Subash dan Mathan diwakili peguam Muhammad Ashraff Mohd Diah serta Ahmad Yusri Ahmad Fuad.

Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 9 November ini bagi serahan dokumen mengikut Seksyen 51(A) Kanun Aturcara Jenayah.

Terdahulu, kes membabitkan kedua-dua tertuduh didengar pada 10.45 pagi sebelum mereka membuat pengakuan tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan jurubahasa dalam bahasa Melayu.

Suhaila mencadangkan satu tarikh serahan dokumen ditetapkan selain meminta kedua-dua tertuduh masing-masing dikenakan jaminan RM30,000 dengan seorang penjamin.

Subash dalam rayuan pengurangan jaminan memohon supaya anak guamnya, Khishendra yang bekerja sebagai operator pengeluaran di Singapura dikenakan jaminan rendah dengan mengambil kira dia penanggung tunggal keluarga.

Muhammad Asyraf turut mencadangkan jaminan rendah terhadap anak guamnya itu kerana menanggung ibu bapa berusia 65 dan 66 tahun.

"Anak guam saya akan melangsungkan perkahwinan pada 22 November ini.

"Saya percaya keluarganya dari Ipoh, Perak akan hadir untuk jaminan dan jaminan rendah perlu untuk pastikan kehadirannya ke mahkamah," katanya.

Kamarudin dalam keputusannya membenarkan Khishendra diikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin manakala Mathan, RM10,000 dengan seorang penjamin.

Dalam sidang media pada 3 Oktober lalu, polis mengesahkan sudah menahan empat lelaki dan sedang memburu tiga lagi individu termasuk seorang wanita bagi membantu siasatan berhubung penemuan mayat seorang lelaki di hentian bas Jalan Persiaran Sungai Danga, 21 September lalu.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Source Mymetro