Close

Poll

Setahun pelaksanaan GST, pemahaman masyarakat terhadap pelaksanaannya masih kabur.:
MALAYSIA  
 
Enter your keywords:
 

Muslihat gelang 'kunci syurga'

Tarim (Yaman): Tentera kanak-kanak. Itu yang digunakan oleh kumpulan bersenjata pemberontak Houthi dalam mengekalkan penguasaan dan menentang tentera pro-kerajaan biarpun tindakan itu dilihat tidak berperikemanusiaan.

Malah, tentera kanak-kanak itu turut dibekalkan dengan azimat umpama gelang di tangan yang dikenali sebagai ‘Miftahul Al-Jannah’ (kunci syurga) kononnya askar yang terkorban akan terus ke syurga sedangkan gelang itu hanya untuk pengecaman mayat.

Dalam organisasi tentera biasa, ia adalah gelang yang mempunyai nombor siri tentera, namun kumpulan pemberontak Houthi menggunakan sentimen itu untuk meyakinkan bahawa perjuangan mereka berada dalam landasan yang benar.

Beberapa anggota tentera Al-Muqawwamah (tentera kebangkitan rakyat pro-kerajaan) pernah berdepan dengan tentera kanak-kanak ini dan yang terlatih itu ternyata bersedia untuk membunuh sesiapa saja yang menentang Houthi.

Itu adalah maklumat yang diperoleh sukerelawan Muslim Care Society Malaysia (Muslim Care) Ustaz Imran Selamat selepas berjaya memasuki bandar Ma'rib manakala wartawan diarahkan berpatah balik.

Imran berkata, hasil temubualnya dengan beberapa pimpinan organisasi tentera Al-Muqawwamah mendedahkan bahawa azimat itu digunakan oleh kumpulan terbabit bertujuan untuk mendorong mereka ‘berjihad’ dan sanggup mati kerana perjuangan itu.

“Tangkal ini memang ada. Beberapa anggota tentera yang melakukan pemeriksaan terhadap mayat kumpulan pemberontak ini menemui gelang terbabit dan hasil maklumat risikan ia digunakan kononnya kunci syurga.

“Berdasarkan perbualan saya, tentera kanak-kanak ini memang tahu menggunakan senjata api dan boleh menembak ke arah sasaran. Namun, mereka ini bukan askar yang begitu terlatih.

“Mereka hanya digunakan oleh pemberontak Houthi sebagai tentera barisan depan dan meraih belas ihsan tentera pro-kerajaan untuk tidak menembak mereka,” katanya.

Menceritakan keadaan terkini peperangan di sempadan bandar Ma'rib dan Sana'a, Imran memaklumkan bahawa beliau masih boleh mendengar bunyi tembakan dari jauh namun kebanyakan pertempuran berlaku di kawasan bukit yang terletak di pinggir bandar Ma'rib.

“Sehingga kini, pasukan tentera pro-kerajaan sudah menghalau pemberontak ke pinggir bandar dan hampir untuk memasuki Sana'a.

“Pimpinan tentera pro-kerajaan yang sah mensasarkan mereka mampu untuk menawan semula Sana'a dalam tempoh setahun lagi bermula daripada serangan balas secara sedikit demi sedikit,” katanya.

Menurutnya, berdasarkan maklumat pertempuran sengit terus berlaku, tentera kebangkitan rakyat Al Muqawwamah sudah mengasak tentera pemberontak Houthi hingga berundur di pergunungan Nehm dan Sirwah menghala ke Sana'a.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Source Mymetro