Pengarah Urusan Kumpulan Utusan, Datuk Mohd. Noordin Abbas berkata, sokongan itu amat bermakna dalam mencungkil bakat karyawan-karyawan pelapis muda selain menghargai penulis sedia ada.

 

HSKU ke-32 yang mendapat tajaan dari Permodalan Nasional Berhad dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia menyaksikan peningkatan nilai hadiah keseluruhan sebanyak RM100,000 berbanding RM80,000 tahun lalu.

“Kami berharap kerjasama ini dapat diteruskan dan diperluaskan lagi agar dunia kesusateraan Melayu terus bergema di negara yang tercinta ini.

“Sesunguhnya kesusateraan Melayu mempunyai peranan yang tersendiri dalam usaha kerajaan memperteguhkan jati diri masyarakat Malaysia dalam menghargai cabaran masyarakat global masa kini,” kata Mohd. Noordin dalam ucapannya.

Tambah beliau, bidang kesusasteraan telah menjadi sebahagian sejarah Kumpulan Utusan sejak lebih tujuh dekad lalu.

Menurut Mohd. Noordin, Kumpulan Utusan akan terus menyokong bidang kesusasteraan Melayu kerana kesusateraan dan kewartawanan adalah dua bidang yang mempunyai denyut nadi yang sama.

“Biarlah nama Kumpulan Utusan terus sinonim dengan pembangunan kesusateraan Melayu di Malaysia.

“Adalah menjadi impian kami akan satu masa nanti hasil penulisan sasterawan negara akan dilihat setaraf dengan sasterawan-sasterawan antarabangsa, bukan sahaja dari aspek estetika malah nilai pemikirannya,” kata Mohd. Noordin.

Hadiah disampaikan oleh Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin.

Turut hadir Pengerusi Kumpulan Permodalan Nasional Berhad, Tan Sri Abdul Wahid Omar. - UTUSAN ONLINE