Close

Poll

Setahun pelaksanaan GST, pemahaman masyarakat terhadap pelaksanaannya masih kabur.:
MALAYSIA  
 
Enter your keywords:
 

Taktik tak menjadi, tali gantung menanti

LELAKI berusia 22 tahun ditahan pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kedah berikutan penemuan 200 ketul ganja mampat seberat 198.45 kilogram (kg) bernilai RM396,900 dalam but kereta yang dipandunya, Rabu lalu.

Pengarah Kastam Kedah, Datuk Johari Alifiah berkata, tangkapan dilakukan pada jam 8.40 pagi ketika suspek yang memandu kereta jenis Proton Preve melalui pemeriksaan di Kompleks Kastam Imigresen dan Kuarantin (KIK), Bukit Kayu Hitam, di sini.

 

Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati alat pembesar suara memenuhi bahagian but belakang sehingga menutup hampir semua bahagian but itu.

"Pegawai kami yang mencurigai sesuatu kemudian mengarahkan pemandu terbabit membuka bahagian kerusi belakang untuk pemeriksaan lanjut.

"Hasil pemeriksaan menemui beberapa ketulan mampat berbalut plastik lutsinar yang disyaki ganja dan pegawai terbabit memaklumkan perkara itu kepada Cawangan Penguatkuasaan Bukit Kayu Hitam untuk menyerahkan kenderaan dan barangan itu untuk tindakan lanjut," katanya pada sidang media di pejabatnya, di sini hari ini.

Johari berkata, suspek dipercayai dalam perjalanan pulang dari negara jiran dan ganja itu disyaki dibawa masuk ke negara ini untuk dijual di pasaran tempatan.

Beliau berkata, modus operandi yang digunakan suspek dengan menyorok ganja berkenaan di dalam alat pembesar suara untuk mengelak dari ditahan dan pihaknya masih menjalankan siasatan sama ada dia sudah lama menjalankan kegiatan itu atau sebaliknya.

"Kita akan menjalankan pemeriksaan dokumen perjalanannya ke negara jiran dan ini adalah kes kedua terbesar membabitkan dadah yang diperolehi pihak kami untuk tahun ini.

"Setiap satu ketulan ganja itu seberat hampir satu kg dan mampu dijual sekitar RM2,000," katanya.

Beliau berkata, suspek yang bekerja sendiri itu ditahan reman 14 hari bermula semalam untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan sabit kesalahan boleh dihukum gantung mati mandatori.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Source Mymetro