Close

Poll

Setahun pelaksanaan GST, pemahaman masyarakat terhadap pelaksanaannya masih kabur.:
MALAYSIA  
 
Enter your keywords:
 

Bekas pembantu Hishammuddin didakwa

Seorang bekas pegawai khas Datuk Seri Hishammuddin Hussein ketika di kementerian pengangkutan hari ini didakwa atas tuduhan rasuah.

Pertuduhan dijalankan di Mahkamah Sesyen Shah Alam.

Tertuduh, Zailan Jauhari, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas dakwaan menerima suapan bernilai RM80,000 pada Januari 2014.

Zailan dilaporkan bertugas dengan Hishammuddin - yang juga naib presiden Umno - pada Februari 2014.

Dakwaan itu membabitkan tender bagi dua syarikat membersihkan sekolah yang terletak di bawah kementerian pendidikan.

Mengikut pertuduhan, Zailan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan jika sabit kesalahan.

Dia dituduh mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM dan boleh dihukum mengikut seksyen 24 akta sama.

Berdasarkan kertas pertuduhan Zailan menerima suapan iaitu wang tunai RM20,000 dan sekeping cek Bank Islam Malaysia Bhd bernilai RM60,000 daripada Siti Rahmah Sabli sebagai upah bagi melakukan suatu transaksi yang mungkin berlaku untuk membantu dua syarikat mendapatkan tender kerja-kerja pembersihan sekolah di dua zon di daerah Kuala Selangor.

Zailan dan Siti Rahmah bertemu di sebuah restoran di Kuala Selangor. Dua syarikat dimaksudkan dalam pertuduhan itu ialah KCM Maju Resources dan Sri Kajang Jaya.

Timbalan Pendakwa Raya Mohammad Heikal Ismail pada awalnya memohon hakim menetapkan ikat jamin sebanyak RM50,000 tetapi peguam bela Zailan, Fadzil Manan, berhujah tertuduh adalah pekerja kontrak dengan gaji bulanan RM2,300.

Fadzil juga mendakwa Zailan memberi kerjasama kepada agensi antirasuah itu sebelum ini.

Mohammad Heikal berkata, Zailan ditahan kali pertama pada 2014 dan dibebaskan atas jaminan SPRM. Bagaimanapun tertuduh gagal melapor diri kepada SPRM selepas itu.

Ia menjadi hujah kepada pihak pendakwa menyanggah kenyataan Fadzil bahawa tertuduh memberi kerjasama kepada SPRM sepanjang siasatan berkenaan.

Mohammad Heikal juga berkata, Zailan hanya berada di mahkamah selepas pegawai SPRM pergi ke rumah tertuduh dan menahannya hari ini.

Hakim Asmadi Hussin kemudian membenarkan Zailan diikat jamin RM30,000 dan menetapkan 13 Februari ini untuk pengurusan kes berkenaan.

Semakan atas talian mengenai senarai tender diluluskan kementerian pelajaran menunjukkan syarikat KCM Maju Jaya memperoleh kontrak pembersihan untuk zon 2 Kuala Selangor antara 1 Jun 2016 hingga 31 Mei 2018.

KCM Maju Jaya dan Sri Kajang Jaya turut disenarai sebagai pembekal aktif pada laman sesawang perolehan kerajaan.

- malaysiakini