Close

Poll

Setahun pelaksanaan GST, pemahaman masyarakat terhadap pelaksanaannya masih kabur.:
MALAYSIA  
 
Enter your keywords:
 

Guru luahkan kekecewaan depan 2 menteri

Sesi dialog Transformasi Nasional 2050 (TN50) dengan golongan guru semalam rata-rata menunjukkan ketidakpuashatian mereka terhadap sistem pendidikan sedia ada, dengan salah seorang daripada 400 guru yang hadir berterus terang masalah beban kerjanya kepada Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Pandangan yang diutarakan guru itu mengubah suasana dialog itu, yang turut dihadiri Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin.

“Guru masa ini dilihat menghadapi tekanan apabila selepas waktu mengajar terpaksa menghabiskan waktu dengan bebanan kerja lain seperti terpaksa habiskan maklumat pelajar yang banyak,” kata guru yang enggan dikenali itu, dalam program TN50 bersama Guru Muda 1Malaysia (GM1M) di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) semalam.

Beliau mempersoalkan waktu bekerja sebenar guru yang dilihat tidak tetap, dan mereka terpaksa menghabiskan lebihan kerja selepas waktu mengajar di sekolah.

Beliau yang mengajar di sebuah sekolah di Sabak Bernam, Selangor, turut mencadangkan Kementerian Pendidikan membela nasib guru yang sering dituduh setiap kali timbul kes seperti buli pelajar.

“Sedangkan kita buat kerja kita tetapi kita tetap disalahkan. Kita mahu kementerian bela nasib guru. Kita mahu 33 tahun akan datang guru yang ada ini memang nak jadi guru, bukan sebab tidak ada pekerjaan lain,” katanya.

TN50 merupakan gagasan diilhamkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, dalam membentuk dasar negara maju menjelang 2050.

Dalam luahannya, guru tersebut turut menyentuh kebimbangan guru ditugaskan ke luar bandar dan sukatan mata pelajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris.

Mahdzir ketika menjawab berkata beliau menerima kritikan secara terbuka.

“Jangan takut guru-guru yang hadir, saya terima pandangan ini dan tujuan sesi dialog TN50 ini juga bagi menambah baik kekurangan yang ada.

“Walaupun nampak ada guru yang marah, emosi tetapi jangan risau ketua pengarah di sini tidak akan tulis nama. Di TN50 ini kita tidak ada masalah. Kita faham mengenai masalah bebanan kerja yang banyak itu,” katanya.

Khairy berkata sesi semalam mengumpulkan 31 aspirasi yang diutarakan guru, kebanyakannya menekankan soal pendidikan yang holistik dan cara pengajaran yang berkesan.

“Ini satu aspirasi yang menunjukkan mereka mahu guru ini merupakan satu kerjaya yang menjadi kerjaya pilihan dan mahu persekitaran bekerja yang lebih baik masa hadapan.

“Ini semua selari dengan perubahan dan penambahbaikan yang dilakukan KPM hari ini.

“Guru yang hadir sangat komited dan mahu kemudahan yang baik bagi sistem pendidikan terbaik di dunia di mana dapat lahirkan pelajar ‘first class mentality’ untuk masa depan. Bukan hanya fokus kepada peperiksaan sahaja.,” kata Khairy.

- freemalaysiatoday