Close

Poll

Setahun pelaksanaan GST, pemahaman masyarakat terhadap pelaksanaannya masih kabur.:
MALAYSIA  
 
Enter your keywords:
 

A. Kadir diminta belajar jadi pembangkang sebelum buat tuduhan

A. Kadir Jasin

 

KUALA LUMPUR 1 Feb. – Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Datuk A. Kadir Jasin diminta untuk belajar terlebih dahulu menjadi pembangkang sebelum membuat tuduhan bahawa Pas dan UMNO akan bergabung pada pilihan raya umum akan datang.

Naib Presiden Pas, Idris Ahmad berkata, tuduhan sedemikian membuktikan beliau kini sudah insaf tentang parti yang beliau dukung selama ini dan bersikap anti-Pas sejak dahulu hingga kini.

Beliau berkata, tulisan bekas wartawan veteran itu mengenai politik Kelantan juga agak pelik apabila beliau `memadamkan’ peranan Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika Pas bersama Barisan Nasional (BN) dan terlibat secara langsung dalam krisis tersebut.

Idris Ahmad

“Apakah Datuk (A. Kadir) lupa bahawa Dr. Mahathir merupakan Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden UMNO ketika itu. Sama ada Datuk lupa atau buat-buat lupa. Datuk hanya sebut tokoh-tokoh yang sudah meninggal seperti Tun Hussein Onn, Jaafar Albar, Datuk Harun Idris tetapi Datuk sepatah pun tidak sebut nama Dr. Mahathir.

“Tidak perlulah membuat tuduhan bahawa Pas bersama UMNO. Datuk belajarlah menjadi pembangkang setelah selesa bersama UMNO. Pas sudah 65 tahun faham sepak terajang UMNO, banyak dalam kalangan kami tidak pernah bersama UMNO, sedangkan Datuk dan sekutu dan sewaktu dengannya pernah terlibat dengan UMNO. Kami lawan UMNO sewaktu Datuk pertahan UMNO melalui serangan media, janganlah Datuk hendak samakan kami dengan perangai Datuk,” katanya dalam kenyataan yang disiarkan menerusi portal berita Pas, harakahdaily.net, hari ini.

Kelmarin, A. Kadir menulis di blognya mengenai ‘UMNO-Pas: Siapa Goda Siapa Atau Asmara Dana?’ dengan menyatakan Pas mungkin akan bergabung dengan UMNO dalam pilihan raya umum akan datang.

Dalam pada itu, Pesuruhjaya Pas Pahang, Rosli Abdul Jabar berkata, Pas tidak berjuang untuk keutamaan memerintah tetapi lebih mengutamakan demi mendaulatkan Islam biarpun perkara itu dibenci oleh sesiapa sahaja.

Katanya, sesiapa pun yang memerintah tidak menjadi halangan kepada parti itu asalkan meletakkan hukum Allah sebagai dasar pentadbiran kerana perjuangan Islam bukan ditegak secara pertembungan semata-mata tetapi juga dengan dakwah.

Walau bagaimanapun, kata beliau, pegangan itu tidak bermakna Pas tunduk kepada UMNO atau mahu bergabung dengan UMN0 kerana parti itu tidak pernah menyembunyikan hasratnya untuk melaksanakan Islam.

“Mereka yang keluar Pas dan tubuhkan parti baharu sebab tak puas hati dengan tindakan parti itu putuskan hubungan tahaluf dengan DAP, barangkali lupa agaknya apa yang mereka perjuangkan dahulu. Jika dahulu merekalah yang bertempik umpama gajah liar marahkan UMNO yang tidak mahu melaksanakan Islam.

“Pas juga sanggup memutuskan tahaluf dengan DAP sebab parti itu terang-terang menentang hasrat parti itu untuk memperjuangkan Islam. Semua yang ‘Pak Pandir’ buat hasilnya pasti lebih buruk daripada sebelumnya,” katanya.

Tambahnya, politik Pas bukan begini, kalau buruk untuk Islam, pasti parti akan menolak,

“Pas akan buat sesuatu yang lebih baik untuk Islam dan umatnya,” jelasnya

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Source Utusan Malaysia

A. Kadir Jasin