Close

Poll

Setahun pelaksanaan GST, pemahaman masyarakat terhadap pelaksanaannya masih kabur.:
MALAYSIA  
 
Enter your keywords:
 

Mansuh JASA, selamatkan RM22 juta setahun

PKR mengesyorkan penstrukturan semula perkhidmatan awam dengan memansuhkan jabatan, jawatan atau peruntukan yang tidak berkait dengan tugas berkhidmat kepada rakyat tanpa pilih kasih.

Parti berakta terdapat jabatan dan perjawatan khusus untuk kempen politik BN dan ia mesti dihapuskan, seperti Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) di Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKM).

“Jabatan-jabatan dan perjawatan yang ditubuhkan untuk berkempen politik bukanlah sebahagian dari perkhidmatan awam dan ia wajar ditanggung sendiri oleh Umno/BN; bukannya ditanggung oleh rakyat,” kata Naib Presiden PKR Rafizi Ramli.

Memetik dokumen Belanjawan 2017 (Maksud Bekalan 47 iaitu peruntukan yang diluluskan di dalam Belanjawan 2017 untuk KKM), Rafizi berkata JASA diperuntukkan sebanyak RM22,886,500 pada 2017 berbanding RM22,801,000 yang dianggarkan dibelanjakan pada tahun sebelumnya.

Dari jumlah RM22,886,500 ini, RM5,712,900 adalah perbelanjaan penggajian dan RM17,173,600 adalah perbelanjaan perbekalan, kata Rafizi.

Anggota parlimen Pandan juga berkata jumlah kakitangan JASA pula kekal seramai 272 orang bagi tahun 2016 dan 2017.

“Ini bermakna, JASA adalah beberapa jabatan yang istimewa kerana tidak mengalami potongan peruntukan berbanding dengan fungsi-fungsi perkhidmatan awam yang jauh lebih penting kepada rakyat seperti perkhidmatan pendidikan dan kesihatan.

“Bukan itu sahaja, JASA menunjukkan kenaikan peruntukan bagi penggajian iaitu kenaikan RM85,400 yang bermakna pada jumlah kakitangan yang sama bagi kedua-dua tahun, ada pegawai tertentu JASA yang dinaikkan lagi kos penggajiannya,” katanya.

'Propaganda' pro-Najib

Beliau juga mendakwa JASA terlibat dengan penghantaran makluman “propaganda” yang mempertahankan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam isu-isu kontroversi seperti 1MDB.

Rafizi mengulas kenyataan bekas ketua setiausaha perbendaharaan Tan Sri Mohd Sheriff Mohd Kassim yang mencadangkan kerajaan mengecilkan saiz perkhidmatan bagi mengelak terjerumus dalam krisis kewangan seperti di Greece.

Mohd Sheriff merujuk kepada tindakan beberapa negara di Eropah yang secara tiba-tiba mengecilkan saiz perkhidmatan awam bagi mengurangkan perbelanjaan operasi setelah ekonomi terjejas teruk.

Dalam kenyataan hari ini, Rafizi berkata keputusan Najib sama ada memansuh atau mengekalkan JASA “yang akan menyelamatkan wang rakyat sebanyak RM22 juta setiap tahun” akan menunjukkan sama ada beliau menghormati cadangan mantanpegawai tinggi perkhidmatan awam seperti Sheriff.

“Wang ini lebih sesuai dibelanjakan untuk menampung 4,400 pelajar cemerlang di universiti tempatan melalui pemberian biasiswa kecemerlangan; daripada dibelanjakan ke atas individu-individu yang kerjanya mengulangi propaganda Umno/BN walaupun makan gaji dengan rakyat,” katanya.

- malaysiakini