Bekas Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim berkata, ini kerana Kit Siang dan Dr. Mahathir sudah terdesak untuk meneruskan kesinambungan politik masing-masing.

“Dr. Mahathir dan Kit Siang bersedia untuk melakukan apa sahaja bagi mencapai matlamat politik mereka.

 

“Hubungan dengan mereka berdua sama ada bersifat politik atau peribadi tidak akan kekal lama jika bersandarkan kepada kepentingan masing-masing,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

DAP dilihat cuba mendapatkan bantuan daripada Pas bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) apabila Kit Siang menawarkan ‘salam perdamaian’ kepada Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Dr. Mahathir pula walaupun pada mulanya memilih untuk melupakan pakatan dengan Pas tetapi membuat pusingan U apabila menyatakan kerjasama antara PPBM dan Pas masih belum berakhir malah pada 2 Februari ini kedua-dua parti itu dikatakan akan mengadakan satu pertemuan.

Menurut Tunku Abdul Aziz, berdasarkan pemerhatiannya, hubungan antara Pas, PPBM dan DAP akan berkecai apabila Dr. Ma hathir dan Kit Siang telah mencapai apa yang mereka berdua inginkan.

“Pas pernah jatuh di dalam pe­rangkap DAP, takkan bila kita digigit sekali kita akan biarkan diri kita digigit untuk kali kedua,” jelasnya.

Dalam pada itu, Tunku Aziz berkata, DAP menggunakan alasan untuk menyelamatkan Malaysia daripada pemimpin kleptrokasi bagi menjalinkan hubungan kembali dengan Pas.

“DAP sebenarnya hanya mahukan sokongan daripada orang Melayu, Pas boleh menyelamatkan Malaysia tanpa menyokong DAP.

“DAP ingin selamatkan Malaysia daripada siapa? Adakah daripada Dr. Mahathir, Datuk Seri Anwar Ibrahim atau Kit Siang sendiri kerana kita tahu ketiga-tiganya ingin membentuk dinasti politik masing-masing,” ujarnya.

Sementara itu, beliau juga mahu rakyat menilai sendiri tindak tanduk pemimpin DAP yang dikatakan anti-Islam terutama Kit Siang yang menentang cadangan pindaan Rang Undang-Undang Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah 1965) (Akta 355).