Close

Poll

Setahun pelaksanaan GST, pemahaman masyarakat terhadap pelaksanaannya masih kabur.:
MALAYSIA  
 
Enter your keywords:
 

UMNO tidak terjejas Annuar direhatkan

MUSTAPA MOHAMED

 

 

JELI 1 Feb. – UMNO tidak terjejas biarpun Ketua Penerangannya, Tan Sri Annuar Musa direhatkan daripada tugasnya sebagai Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan Pengerusi Pelaburan Mara Bhd. (PMB) bagi membolehkan siasatan berhubung dakwaan salah guna kuasa serta penyelewe­ngan dilakukan de­ngan telus.

Ahli Majlis Ter­tinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, isu tersebut tidak mempunyai kaitan de­ngan parti itu atau Barisan Nasional (BN), sebaliknya mengenai sebuah agensi kerajaan yang diketuai Ahli Parlimen Ketereh itu.

Dalam masa sama, beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri me­nye­rahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menjalankan siasatan berhubung perkara itu dengan adil dan saksama.

“Kita sedia maklum Annuar akan bekerjasama dan akur de­ngan keputusan dibuat (bercuti daripada tugas). Saya rasa itu tindakan bijak yang diambil oleh Annuar.

“Kita serahkan kepada pihak bertanggungjawab menjalankan siasatan dan sekali lagi saya tegaskan isu ini tiada kaitan dengan UMNO,” katanya selepas Majlis Penyampaian Bantuan Teraju dan Lantikan Program Akademik di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) kampus Jeli di sini hari ini.

Yang turut hadir, Naib Canselor UMK, Prof. Datuk Dr. Mortaza Mohamed; Ketua Pegawai Eksekutif, Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju), Datuk Husni Salleh; Pengurus Besar Bahagian Pembangunan Modal Insan Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC), Zulkifli Yaacob dan Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) negeri, Datuk Makhtar Mustapa.

Sementara itu, mengulas me­ngenai majlis hari ini, Mustapa berkata, sebanyak 32 usahawan dari daerah ini dan Bachok menerima ban­tuan dalam bentuk peralatan perniagaan daripada Teraju.

Katanya, bantu­an yang dianggarkan bernilai le­bih RM200,000 itu sekali gus dapat membantu para usahawan terbabit mengembangkan perniagaan masing-masing.

“Bantuan tersebut diharap dapat membantu golongan usa­ha­wan ini mengembangkan per­niagaan ke tahap lebih tinggi, selain menambahkan pendapatan masing-masing,” katanya.

Sementara itu, Universiti Kua­la Lumpur (UniKL) bersedia memberi kerjasama sepenuh­nya kepada pihak berkuasa termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi memastikan kelancaran proses siasatan berhubung dakwaan penyelewengan dan salah guna kuasa oleh Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Tan Sri Annuar Musa.

Pengerusi UniKL, Datuk Dr. Adham Baba berkata, pihak­nya tidak mempunyai sebarang masalah dalam perkara tersebut demi memastikan proses siasatan berjalan lancar.

Menurutnya, setakat ini, ka­ki­tangan UniKL telah dimaklumkan mengenainya dan sedia menyalurkan maklumat tepat kepada pihak berkuasa.

“UniKL adalah milik penuh Mara dan ia secara tidak langsung mempunyai kaitan dalam hal ini serta menjadi sebahagian tanggungjawab kami.

“Oleh itu, jika ada pihak mahukan maklumat, kami sedia bekerjasama,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Source Utusan Malaysia